Shiqin Sedia Tempuhi Cabaran

Diterbitkan: Isnin, 1 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERCUBAAN pertama menerusi filem Legenda Budak Setan ternyata benar-benar belum memberi impak kepada Ashiqin Mohd Kamal atau Shiqin.

Malah gadis berusia 19 tahun ini turut menerima pelbagai kritikan pedas seperti kaku, tiada emosi serta gagal menjiwai watak. Dia turut dikatakan hanya mempertaruhkan wajah manisnya semata-mata untuk bergelar pelakon tanpa mempunyai bakat yang bagus.

Tidak mahu lari dari kritikan, dia mengaku dirinya masih diseliputi perasaan malu dan rendah diri ketika digandingkan dengan nama besar seperti Lisa Surihani dan Farid Kamil ketika menerajui filem tersebut.

“Kali pertama berlakon dan diberi kepercayaan untuk memegang watak penting dalam filem ini memang bukan sesuatu yang mudah. Ketika saya hadir uji bakat untuk filem ini ramai juga pelakon lain yang datang. Saya tidak tahu mengapa pengarah memilih saya untuk memegang watak Amirah itu.

“Selepas ditayangkan banyak maklum balas dan kritikan yang diterima, mereka kata saya kurang beremosi. Saya sedar ketika itu saya terlalu banyak berfikir tentang tanggapan keluarga dan masyarakat,” ujarnya yang turut tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) lalu.

Bagi menebus kehampaan tersebut Shiqin yakin pertaruhannya dalam filem terbarunya Mantera bakal membuka mata penonton untuk menilai bakat yang ada dalamnya. Gadis berdarah Melayu-Pakistan ini bertuah apabila dipilih untuk memegang watak heroin bernama Deena yang pada asalnya ditawarkan kepada Lisa Surihani.

“Saya tidak sangka diberikan watak utama dalam filem ini, memandangkan saya masih baru dan tidak banyak pengalaman lagi. Semasa uji bakat saya fikir hanya mendapat watak sampingan sahaja.

“Bagaimanapun saya perlu buat yang terbaik untuk membuktikan saya tidak kaku seperti yang diperkatakan pada filem pertama saya,” katanya yang akan bergandingan dengan Tomok untuk filem yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Selain itu, Shiqin juga sedang menunggu tayangan filem sebuah produksi dari Singapura berjudul Dilarang Masuk. Filem genre seram dan aksi ini dijangka akan ditayangkan ke beberapa buah negara jiran pada awal tahun hadapan.

Kagumi Lisa Surihani

Jika dilihat dari pakej wajah, pembentukan kerjaya dan latar belakang pendidikannya, Shiqin mempunyai banyak persamaan dengan aktres jelita Lisa Surihani. Pelajar tahun dua, Ijazah Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga mengakui menjadikan pelakon tersebut sebagai idolanya.

“Lisa Surihani merupakan nama besar yang semakin meningkat naik. Dia bersih dari gosip yang buruk dan berjaya membawa dirinya sehingga kemuncak kerjayanya.

“Saya lihat Lisa seorang yang tahu apa yang dia hendak dalam industri ini. Dia mempunyai matlamatnya tersendiri dan ramai artis yang menjadikan dia sebagai idola kerana dia berjaya dalam pelajarannya dan lakonan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Shiqin akui sebagai pelajar banyak kekangan yang perlu dihadapi terutamanya dari segi masa belajar dan kelas yang terpaksa dihadiri. Banyak tawaran yang datang terpaksa ditimbang-tara agar tidak bertembung dengan waktu belajarnya.

“Memang saya sangat sedih bila terpaksa menolak beberapa tawaran yang datang terutamanya drama atau telefilem. Ramai yang ingat saya tidak mahu berlakon drama, tapi sebenarnya masa yang tidak mengizinkan. “Saya hanya ambil tawaran yang benar-benar sesuai dengan masa saya. Bukan apa, kursus yang saya ambil ini susah, lebih-lebih lagi jika tercicir dari awal,” katanya.

Ditentang keluarga

Percaya kebolehan diri, Shiqin akui tentangan awal dari keluarga merupakan cabaran buatnya melangkah ke dunia seni. Keluarga mahu dia mengikut jejak langkah adik beradik yang lain belajar hingga ke luar negara dan memiliki kerjaya yang boleh dibanggakan.

Namun kedegilan dan kehendak yang membuak-buak membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini tekad dengan keputusannya.

“Awal pembabitan saya adalah melalui filem Magika, mungkin ramai tak tahu sebab saya hanya buat aksi lagak ngeri untuk watak Nenek Kebayan lakonan Ziana Zain. Ketika itu keluarga saya tidak kisah kerana menganggap ia sekadar suka-suka.

“Namun selepas tawaran demi tawaran mereka mula bising dan mahu saya tumpu pada pelajaran. Selepas berbincang, mereka membenarkan saya berlakon dengan syarat tidak boleh menjejaskan pelajaran.

“Sebab itu saya berhati-hati dan buktikan pada keluarga dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang pada setiap semester,” ujar anak saudara kepada pelakon Edika Yusof ini.

Kuat Cemburu

Bercerita tentang soal hati, bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur ini mengakui dia seorang yang kuat cemburu terhadap pasangannya.

Dia memberitahu tidak akan memilih pelakon atau selebriti sebagai pasangan kekasih berikutan tidak mahu menghadapi gosip. Kata Shiqin, sekiranya kekasih dia seorang artis, dia juga tidak sanggup melihat kekasihnya bermesraan dengan orang lain di lokasi penggambaran.

“Saya seorang yang terlalu kuat cemburu. Kalau boleh saya memang tidak mahu bercinta sesama artis kerana tidak mahu dengar gosip. Bercinta dengan orang biasa pun saya sentiasa cemburu, inikan pula artis yang terdedah sebagai bahan gosip.

“Buat masa ini saya belum punya kekasih, saya hanya bercinta dengan buku dan kerja saya. Bukan saya memilih atau tidak mahu bercinta tetapi susah untuk mencari lelaki yang betul-betul boleh dipercayai,” katanya.

Foto: RAYMOND OOI Solekan: NEEZA RAHIM (0122116592) Pakaian: EZUWAN ISMAIL (0122646871)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan