AC Mizal Terselamat Hukuman Penjara 25 Hari

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AC Mizal
AC Mizal

KAJANG: Pengacara popular, AC Mizal menarik nafas lega selepas tidak perlu bermalam di penjara selama 25 hari bermula Khamis, selepas berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anak bersama bekas isteri, Shafnie Zainudin,35, yang tertunggak RM9,800 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bekas pengacara Konsert Akademi Fantasia itu juga menjelaskan denda RM1,500 bagi kesalahan menghina mahkamah yang mana, jika gagal Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah memerintahkan dia dipenjarakan selama 10 hari.

AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, menjelaskan denda tersebut beberapa minit selepas keputusan dibuat.

“Alhamdulillah, lega tidak di penjara. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana menunjukkan saya tidak bersalah 100 peratus. Saya bayar nafkah cuma ada masanya saya tidak mampu kerana kontrak kerja tamat.

“Saya sudah bayar apabila boleh dan saya harap selepas ini tidak ada orang yang akan memfitnah atau menyebarkan cerita saya tidak bayar nafkah anak,” katanya yang menambah telah memaafkan individu tersebut.

Abdul Halim membuat keputusan itu pada prosiding komital yang dimulakan oleh Shafnie bagi mendapatkan perintah untuk menghantar AC Mizal ke penjara atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal menjelaskan tunggakan nafkah anak yang secara keseluruhan berjumlah RM50,000.

Berdasarkan perintah yang direkodkan hasil persetujuan bersama dalam perbincangan secara sulh, tunggakan itu perlu dilangsaikan secara ansuran RM200 setiap bulan sebelum anak kedua pasangan itu, Muhammad Shabil Iman berusia 18 tahun.

Selain Muhammad Shabil Iman, 11, mereka mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Shafiq Iman, 14, hasil perkahwinan yang dibina pada 24 Jun 1995 sebelum berpisah pada 17 Oktober 2001.

Bagaimanapun, Abdul Halim pada penghakimannya berpendapat, tindakan AC Mizal mendepositkan RM9,800 yang merupakan tunggakan untuk 49 bulan daripada Januari 2005 hingga 19 Disember 2009 ke dalam akaun bersama dia dan Muhammad Shabil Iman bukan bersifat penghinaan kepada mahkamah.

Sebaliknya, tindakan itu adalah merupakan pelanggaran atau terpesong daripada perintah memandangkan cara pembayaran yang sepatutnya ialah secara ansuran dengan dimasukkan bersama RM300 sebagai nafkah semasa di akaun bersama Shafnie dan Muhammad Shafiq Iman di bank RHB. Beliau juga menolak dakwaan Shafnie bahawa AC Mizal telah melanggar perintah untuk menyediakan perbelanjaan bagi awal persekolahan memandangkan perintah itu sendiri kabur dan tidak diperincikan.

Abdul Halim juga hanya menyifatkan tindakan AC Mizal yang tidak membantu dalam persekolahan anak walaupun berkemampuan sebagai malang, namun perkara itu masih tidak menghina ekoran perintah jelas menyatakan bantuan adalah untuk anak dihantar ke sekolah bantuan kerajaan.

Shafnie menghantar anak sulung mereka ke sekolah swasta aliran agama di Bangi, dekat sini.

Bagaimanapun, AC Mizal disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah bagi kegagalannya menyerahkan laporan kewangan tahunan syarikatnya, Best Line Entertainment (M) Sdn Bhd kepada Shafnie dalam tempoh 60 hari bermula 31 Disember setiap tahun.

“Pada mahkamah, responden gagal meyakinkan bahawa kegagalan itu disebabkan syarikat tidak berfungsi adalah mustahil kerana syarikat tersebut adalah berdaftar dan diselia oleh badan suruhanjaya.

“Persoalannya, mengapa responden tidak menunjukkan perjalanan syarikat untuk dinilai oleh mahkamah?” tambah Abdul Halim.

Justeru itu, beliau berkata, hukuman atau ‘ubat’ perlu diberikan kepada AC Mizal untuk membangkitkan kesedaran kepadanya dalam melaksanakan perintah yang telah dipersetujuinya pada 22 Disember 2004.

Abdul Halim juga menyelitkan nasihat kepada AC Mizal dan Shafnie supaya memastikan anak tidak menjadi mangsa dalam perceraian mereka.

“Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa dan akan dihisab kelak. Anak bukan hak eksklusif kepada satu pihak. Biarlah anak merasai mereka masih mempunyai ibu dan bapa walaupun telah berpisah.

“Amat malang jika ibu bapa yang bercerai memisahkan anak dari ibu atau bapa. Jika itu terjadi, tunggulah seksaan daripada Allah dan api neraka,” katanya yang mengambil masa selama 45 minit untuk membacakan penghakiman setebal 36 halaman.

Semasa ini, Shafnie yang hadir di mahkamah bersama kakak dan diwakili peguam syarie Mohd Ridhawan Husin dilihat mengesat air mata manakala AC Mizal tekun mendengar di sisi peguamnya, Siti Aishah Din.

AC Mizal kini sudah berkahwin semula dengan pelakon Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Reeve Damien dan Fea Eryssa.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan