Rahsia P.Ramlee Buka Kedai Mahjung

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shuhaimi Baba
Shuhaimi Baba

KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba bakal membuka rahsia mengenai seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menerusi dokumentari khas berjudul P.Ramlee.

Dokumentari itu akan disiarkan menerusi saluran History (Saluran Astro 555), pada 30 Oktober ini, pukul 9 malam.

Menurut Shuhaimi, P.Ramlee terpaksa melalui perjalanan yang agak sukar termasuklah membuka sebuah kedai mahjung bagi membiayai kos filemnya kerana tidak mendapat bantuan kewangan daripada pihak bank.

"Ini adalah cerita benar, beliau terpaksa membuka kedai mahjung untuk cari duit buat filem. Bukan tujuan kami menceritakan perkara buruk, tetapi kami menyingkap dan beri teladan daripada perjalanan hidup anak seni ini.

"Kita menyanjung dan mengagumi P.Ramlee selepas ketiadaannya, tetapi kita tidak tahu bagaimana perjalanan hidup dan susah payah yang dilalui selama ini," katanya ketika ditemui pada pelancaran dokumentari P.Ramlee baru-baru ini.

Menurutnya, dilema yang dihadapi P.Ramlee dalam memperjuangkan industri perfileman tempatan menjadi rujukan kepada pengarah-pengarah hari ini.

“P.Ramlee telah mendahului zamannya. Sebagai pengarah, saya sendiri melalui apa yang P.Ramlee telah lalui pada eranya. Apa yang saya lihat masalah dan delima yang dihadapi membuka mata banyak pihak.

“Dalam dokumentari ini, kami tidak dibenarkan membuat lakonan semula. Jadi semua penggambaran atau lakonan merupakan video asli. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat video yang terpaksa dicuci terlebih dahulu disebabkan terlalu lama disimpan,” ujarnya.

Dokumentari 90 minit yang diterbitkan oleh Pesona Pictures itu dihasilkan dengan kerjasama antara AETN All Asia Networks yang mengendalikan saluran HISTORY di Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dalam pada itu, pelakon veteran, Datuk Aziz Satar mengakui berasa sedih dan sebak setiap kali menonton filem-filem lakonan dan arahan rakan seperjuangannya bintang legenda itu.

Kata Aziz, dia terkenang pahit maung dan kekecewaan yang dilalui oleh seniman agung itu ketika di penghujung hayatnya.

"Setiap kali saya melihat gelagatnya di televisyen, air mata pasti mengalir. Secara tidak langsung ia mengingatkan saya kenangan bersama-sama dengannya.

"Ramai yang ketawa, gembira melihat cerita komedinya tapi mereka tidak tahu bagaimana perjalanan hidupnya untuk memperjuangkan industri ini," ujarnya

Tambah Aziz, beberapa hari sebelum meninggal dunia, P.Ramlee meluahkan perasaan kecewa bukan sahaja kerana sudah tidak dihargai malah dia sedih apabila tidak diberi peluang untuk berkarya.

"Dua, tiga hari sebelum meninggal dia mengajak saya ke Ipoh menaiki kereta api. Sepanjang perjalanan dia meluahkan perasaan sedih dan kecewa apabila tidak dihargai lagi.

"Dia juga mengadu bahawa masyarakat dan orang dalam industri sudah tidak mahu membantunya. Dia tersepit apabila tidak mempunyai modal untuk menerbitkan filemnya," kata Aziz.

Dalam pada itu, beliau menganggap P.Ramlee seorang yang jujur dalam berkarya. Malah memberi peluang kepada semua pelakon-pelakonnya untuk memberi idea sendiri.

"Dia tidak pernah menolak idea kami. Dia mengaku bahawa dia bukan seorang pelawak, dan minta idea saya dan Sudin (S.Shamsuddin) untuk menjadikan cerita tersebut lebih kelakar," ujarnya yang sedang menyiapkan sebuah buku biografi Tan Sri P.Ramlee Legenda.

Dalam pada itu, Seniwati Mariani Ismail yang mengaku pernah menjalinkan hubungan cinta dengan adik iparnya itu menyifatkan P.Ramlee seorang yang romantik.

"Sebelum dia berkahwin dengan adik saya, Saloma, kami memang pernah menjalinkan hubungan cinta. Tapi disebabkan adik saya juga mencintai P.Ramlee saya ambil keputusan untuk undur diri.

"Biarpun sekejap, saya faham sangat dengan perangai dia yang penyayang dan romantik. Dia tidak suka orang yang dia sayang bekerja kuat dan berasa susah," katanya.

Mariani menganggap dokumentari istimewa ini membuka mata banyak pihak terhadap perjuangan seorang seniman yang kecewa di akhir hidupnya. Secara tidak langsung memberi teladan kepada pengarah dan pelakon-pelakon zaman ini.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan