Khabar Haji Musim Kedua Tampil Imam Muda Aran, Azhar & Asyraf

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar (dua dari kiri) bermesra dengan Imam Muda Asyraf (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Aran (kiri) dan Azhar.
Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar (dua dari kiri) bermesra dengan Imam Muda Asyraf (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Aran (kiri) dan Azhar.

PETALING JAYA: Berdasarkan maklum balas yang amat positif pada tahun lalu, program Khabar Haji sekali lagi akan bersiaran untuk musim yang kedua pada tahun 1431 Hijrah ini.

Bermula 7 hingga 21 November ini, Khabar Haji akan ditayangkan setiap hari, pada jam 10 malam dari Arab Saudi di Astro Oasis (saluran 106) untuk memberi gambaran visual perjalanan haji pada tahun ini.

Bukan sekadar sebuah program berita, penonton akan dibawa untuk lebih memahami perjalanan Rukun Islam yang kelima ini.

Manakala sempena kemuncak kepada ibadah haji bermula 9 hingga 11 Zulhijjah bersamaan dengan 16 hingga 18 November, siaran secara langsung selama sejam akan dibawakan dari Arafah.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, pemilihan Imam Muda, Aran dan Azhar sebagai pengacara serta penampilan khas Imam Muda Asyraf amat bertepatan dengan usaha untuk menggalakkan golongan muda ke Tanah Suci.

“Selain persediaan rohani, kelebihan daripada segi fizikal yang ada diperlukan untuk melaksanakan setiap rukun serta amalan dalam ibadah haji,” katanya.

Khabar Haji musim yang kedua menjanjikan liputan lebih terperinci menerusi beberapa segmen baru yang diperkenalkan. Antaranya sidang telefon jemaah haji di Tanah Suci dengan kaum keluarga yang ditanggalkan di Tanahair, menerokai aktiviti masyarakat setempat termasuk yang berasal daripada Malaysia dan ziarah ke lokasi menarik seperti Kompleks Percetakan Quran Raja Fahd dan kebun kurma Madinah.

Program berita dalam Bahasa Malaysia ini juga akan disiarkan ke seluruh dunia hasil kerjasama Astro Oasis dan Iqraa TV, Arab Saudi. Malah, Khabar Haji juga boleh ditonton di Arab Saudi menerusi saluran Iqraa TV juga sebahagian Amerika Syarikat, Eropah dan Asia yang mendapat capaian satelit Iqraa TV.

Tambah Izelan: ”Kerjasama kali kedua dengan stesen televisyen berpangkalan di Mesir ini membuktikan wujudnya permintaan daripada masyarakat antarabangsa terhadap program ini.”

Penampilan khas Asyraf dalam Imam Muda juga tepat selepas dinobatkan sebagai Juara Imam Muda.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan