Elly Mazlein Menari Dalam "Ulek Mayang"

Diterbitkan: Sabtu, 23 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fezrul Khan dan Elly Mazlein merupakan pelakon utama drama bersiri Ulek Mayang di TV3.
Fezrul Khan dan Elly Mazlein merupakan pelakon utama drama bersiri Ulek Mayang di TV3.

PETALING JAYA: Drama terbaru berjudul Ulek Mayang akan memaparkan tarian Ulek Mayang yang dipersembahkan oleh aktres dan penyanyi Elly Mazlein yang pastinya menjadi tarikan penonton.

Ulek Mayang yang diadaptasikan daripada mitos Ulek Mayang bakal menemui penonton di TV3 mulai 25 Oktober ini, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang.

Ia disiarkan selepas berakhirnya drama bersiri Siti Kelembai di slot Lagenda.

Drama Ulek Mayang yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu arahan Rashid Sibir dan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Fezrul Khan, Elly Mazlein, Seniwati Mariani Ismail, Fizo Omar dan Sabrina Ali.

Ulek Mayang mengisahkan Ali (Fezrul Khan), seorang nelayan yang sering diganggu dengan bayangan Puteri di persisiran pantai.

Namun, Ali hanya mendengar suara gurau senda tetapi tidak pernah melihat wajah si Puteri itu. Semakin hari bayangan Puteri menghantui hidup Ali membuatkan dia sentiasa pergi ke pantai untuk mencari Puteri.

Malah, dia dapat merasakan kehadiran Puteri dalam mimpi kerana bilik tidurnya akan dipenuhi dengan bau wangian. Ibu Ali, Mariam (Mariani) semakin risau melihat keadaan Ali yang menjadi seperti sasau dan angau.

Lokasi penggambaran yang bertempat di Terengganu ini berjaya mewujudkan suasana kampung nelayan yang mengamalkan kepercayaan mistik pada zaman dulu.

Pihak produksi turut menjalankan kajian dalam menghasilkan busana Puteri Kayangan yang begitu mempesonakan.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar, slot Lagenda amat disukai ramai kerana paparan cerita yang berwarna-warni menurut cerita rakyat, dongeng dan mitos.

“Tarian Ulek Mayang yang popular di Terengganu telah mencetuskan ilham Rashid Sibir untuk memberi nafas baru dalam drama bersiri Ulek Mayang kerana cerita itu telah disampaikan secara turun temurun oleh masyarakat kita.

“Selain paparan kisah cinta terlarang antara dua dunia yang agak klise, para penonton juga akan teruja dengan tarian Ulek Mayang yang telah diubahsuaikan daripada sebuah upacara pemujaan kepada tarian kebudayaan supaya bersesuaian dengan ajaran Islam pada zaman sekarang. Kami berharap agar penonton TV3 akan terhibur dengan siri drama tersebut,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan