Watak Kurang Mencabar Punca Tidak Tercalon FFM23 - Liyana Jasmay

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22), Liyana Jasmay sudah menjangka tidak terpilih dalam sebarang kategori FFM pada tahun ini yang akan diadakan pada 24 Oktober ini di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Biarpun terkilan, dia mengakui watak-watak dalam filem yang dilakonkan sepanjang 2010 seperti Niyang Rapik dan Syair Si Pari-Pari kurang mencabar berbanding berbanding artis lain yang tercalon.

"Memang saya sedih tapi saya akui watak saya dalam filem lakonan saya tahun ini kurang mencabar berbanding mereka yang tercalon. Kalau saya tercalon sekalipun, saya malu sebab yang lain semuanya bagus-bagus belaka selain mempunyai watak yang kuat dalam filem mereka.

"Tahun lepas saya sudah menang tak kan setiap tahun nak menang, berilah pada orang lain pula," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Drama Ponti Anak Remaja yang diadakan di Bukit Damansara dekat sini, Isnin.

Tambah Liyana, dia mengharapkan pada tahun akan datang dia mampu memberi saingan semula kepada FFM.

"Insya-Allah tahun depan saya berharap akan tercalon di FFM sebab filem-filem yang bakal keluar semuanya agak kuat wataknya. Antara filem yang sudah pun habis penggambaran ialah Khurafat, Senjakala, dan Tolong Awek Aku Pontianak.

"Melalui filem-filem tersebut juga saya bawa pelbagai watak. Dalam filem Khurafat saya perlu bertudung dan watak pasangan suami isteri berkahwin muda, manakala filem seram Senjakala, memegang watak seseorang yang mencari identiti," katanya.

Ketika ditanya tentang tawaran berlakon drama, dia mengakui agak memilih untuk muncul dalam apa juga drama kerana tidak mahu penonton jemu melihat lakonannya.

"Setakat ini dua drama sahaja yang saya berlakon iaitu Laila Sari dan Ponti Anak Remaja. Ini kerana saya mahu fokus kepada lakonan dalam filem.

"Saya tidak mahu terlalu banyak muncul melalui drama sehingga orang jemu melihat muka saya. Selain itu setiap lakonan dalam filem, saya memberi tumpuan kepada watak yang berbeza," katanya.

Ujarnya lagi, dia lebih gemar melakonkan watak yang sesuai mengikut usianya dilakonkan mengikut usianya.

Wataknya dalam Ponti Anak Remaja ujar Liyana, adalahbersesuaian dengan karakternya sebagai gadis remaja yang gemar berfesyen.

"Saya anggap drama ini istimewa sebab saya suka jalan ceritanya. Dari segi watak Ponti ia terlalu dekat dengan diri saya," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan