Pelakon Watak Zaiton Sameon Pertikai Tuduhan Penerbit

Diterbitkan: Selasa, 12 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mislina sanggup membotakkan kepalanya demi filem Zaiton-Ceritaku.
Mislina sanggup membotakkan kepalanya demi filem Zaiton-Ceritaku.

PETALING JAYA: Pemegang watak Zaiton Sameon menerusi filem Zaiton Ceritaku, Mislina Mustaffa, kecewa apabila timbul tuduhan kononnya dia gagal membawa watak berkenaan dengan baik dalam filem itu.

Mislina berkata dia sanggup berkorban dengan membotakkan kepalanya untuk menjiawai watak berkenaan tetapi sedih sekali pengorbanan tersebut bagaikan tidak dihargai termasuklah dituduh gagal memberi kerjasama yang baik untuk filem tersebut.

“Saya sanggup botakkan kepala untuk filem itu. Adakah itu dikatakan saya tidak bekerjasama?” ujarnya seperti dipetik akhbar Minguan mStar keluaran Ahad lalu.

MStar Online pada 28 September lalu menyiarkan kenyataan penerbit Bruang Filem Sdn. Bhd. Burhanuddin Md. Radzi yang melahirkan rasa kecewa apabila Fauziah Nawi dikatakan gagal mengarahkan filem terbitan syarikatnya itu dengan baik.

Malah Burhanuddin turut mendakwa pemegang watak utama filem itu, Mislina juga gagal membawa watak berkenaan walaupun dia seorang pelakon teater yang hebat.

Kata Mislina, dia tidak mahu masuk campur masalah dalam produksi berkenaan kerana baginya sebagai pelakon dia sudah melakukan yang terbaik seperti mana diinginkan.

Malah dakwa pelakon itu bayaran yang diberikan kepadanya juga rendah iaitu tidak sampai RM25,000 untuk sesebuah watak utama.

“Saya tak tahu apa motif mereka mencipta kontroversi macam ini sedangkan saya pun berlakon bukan untuk popular atau mencari kontroversi,” katanya

Ditanya adakah benar dia gagal membawa watak Zaiton Sameon dengan baik, pelakon filem Telentine arahan Yasmin Ahmad ini berkata, watak yang dilakonkannya dalam filem itu adalah satu teknik lakonan terbaru yang dipelajarinya melalui filem-filem Hollywood.

Katanya filem itu juga banyak bermain emosi sehingga membuatkan dia perlu melakukan watak secara “dalaman” terutamanya bagi adegan Zaiton Samein selepas kemalangan.

“Sayangnya Burhanuddin kata lakonan saya kaku. Saya tak salahkan dia... mungkin dia tak tahu ataupun mungkin saya bukan artis kegemarannya,” katanya.

Ujar Mislina lagi, dia tidak mahu tegakkan benang yang basah sebaliknya dia yakin kebenaran akan muncul juga suatu hari nanti.

* Mingguan mStar diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan