Deejay Tuah Jadi Artis MIG

Diterbitkan: Rabu, 6 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tuah ingin mengembangkan bakatnya sebagai seorang pelakon pula. Foto The Star oleh Mohd Sahar Misni
Tuah ingin mengembangkan bakatnya sebagai seorang pelakon pula. Foto The Star oleh Mohd Sahar Misni

SHAH ALAM: Setelah sekian lama mengasah bakat sebagai pelakon drama, kini penyampai radio Suria Fm, Tuah Zoqarnain melangkah setapak untuk aktif dalam bidang seni dengan mengikat kontrak sebagai artis residen MIG Production.

Beritahu Tuah, peluang yang ditawarkan oleh penerbit, David Teo, tidak mungkin ditolak begitu sahaja memandangkan ia mungkin dapat menjadi satu tapak baginya memajukan diri dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya dari awal lagi saya mahu berlakon. Tapi rezeki saya lebih ke arah menjadi seorang deejay radio. Tapi kini peluang terbuka luas untuk saya apabila David menawarkan saya menyertai syarikat produksinya dan sudah mengikat kontrak selama lima tahun.

"Saya tahu, bekerja dengan seorang penerbit bernama David Teo memerlukan fokus dan disiplin yang kuat dan cara kerja itu yang saya mahukan kerana ia mengajar saya menjadi lebih efisyen.

"Insya-Allah saya harap pada tahun depan, fokus saya lebih ke arah lakonan. Lagipun ramai yang mengenali saya sebagai seorang pelakon," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Shah Alam Convention Center (SACC) bersama mStar, yang diadakan di dewan pusat konvensyen itu, Selasa.

Tambah Tuah, walaupun dia akan mula aktif berlakon, kerjayanya sebagai seorag deejay radio tidak mungkin terhenti begitu sahaja.

Baginya, Suria FM menjadi tempat dirinya merapatkan diri bersama para peminatnya selain tempat rezeki utamanya.

"Sibuk macam mana sekalipun saya tidak akan berhenti kerja sebagai deejay radio kerana ia merupakan mata pencarian utama saya.

"Walaupun sukar, saya akan memastikan jadual saya dapat diseimbangkan. Saya juga mahu orang mendengar saya berceloteh sebagai deejay radio," ujar Tuah.

Tuah mengendalikan slot 50 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8 hingga 11 malam.

Selain itu, pada hari Ahad pula, Tuah akan bersama Zizie dalam slot Suria Baik Bangat pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan