Langkah Suria FM Pancing Linda & Halim Menjadi

Diterbitkan: Selasa, 5 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Linda dan Halim berjaya tarik pendengar ke Suria FM
Linda dan Halim berjaya tarik pendengar ke Suria FM

PETALING JAYA: Percaturan membawa masuk dua juruhebah berpengalaman, Linda Onn dan Halim Othman 'menjadi' apabila kaji selidik AC Nielsen penggal kedua 2010, Suria FM baru-baru ini mengumumkan stesen radio tersebut telah mencatat peningkatan terpantas sebanyak 1.9 juta pendengar.

Pegurus Operasi dan Program Suria FM, Subarma Mohtaruddin atau Subi berkata, strategi untuk menarik satu juta pendengar dengan membawa masuk dua nama besar itu terbukti berkesan apabila Segmen Breakfast@Suria bersama Zizi dan Halim serta Segmen Suria Drive kelolaan Linda Onn meletakkan Suria FM nombor untuk sebuah rancangan pagi dan petang berbanding stesen radio bahasa Melayu lain.

"Tidak dinafikan kehadiran kedua-dua penyampai terkenal iaitu Halim dan Linda ini banyak membantu meningkatkan jumlah pendengar Suria FM.

"Mereka bukan sahaja mempunyai pengikut tersendiri, malah kedua-dua penyampai ini mampu memberi komitmen yang baik dalam mengerakkan sebuah pasukan untuk mencapai sesarannya," katanya.

Selain itu, Subi berkata peraduan dan aktiviti yang dianjurkan selama ini berjaya menambat hati pendengar untuk kekal bersama Suria FM. Ini terbukti apabila Suria FM menjadi nombor satu dalam peningkatan jumlah masa mendengar iaitu meningkat sebanyak 36.3 peratus dari tahun ke tahun.

Menurut Subi, sasaran seterusnya ialah untuk menjadikan Suria FM antara tiga stesen terbaik di Malaysia. Oleh yang demikian, pelbagai perancangan dan strategi sedang dirancang.

"Kita masih dalam perancangan untuk menarik lebih ramai pendengar. Banyak aktiviti telah diatur termasuk konsert-konsert jelajah. Namun begitu tiada sebarang rombakan akan dibuat memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan dalam segmen yang dibawakan.

"Apa yang kami cuba kuatkan ialah input dan informasi yang melibatkan penyampai dan pendengar perlu diperbanyakkan," ujarnya.

Dalam pada itu juga, Red FM turut menunjukkan peningkatan jumlah pendengar dalam lima maklum balas pendengar yang dibuat sejak tahun 2008.

Perbandingan daripada enam bulan terakhir antara Red FM dengan stesen radio Inggeris lain menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus iaitu peningkatan tertinggi telah direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Jumlah masa pendengar mendengar Red FM juga meningkat sebanyak 7.29 jam, sekaligus meletakkannya di tempat kedua sebagai radio berbahasa Inggeris yang paling lama didengari dan digemari oleh remaja. Subi berkata, prestasi memberangsangkan ini menunjukkan bahawa radio masih menjadi pilihan masyarakat sebagai sumber hiburan dan maklumat.

“Kami mengharapkan kedua-dua stesen dapat menunjukkan prestasi yang memberangsangkan seiring perkembangan teknologi baru pada masa kini. kami akan terus meneroka pelbagai platform untuk membantu meningkatkan program kami," katanya.

Dalam pada itu, Linda Onn yang ditemui di majlis berbuka puasa dan ulang tahun restoren My Moms Chikhen Rice memberitahu dia berpuas hati dengan pencapaian membanggakan Suria FM.

"Saya diambil ke sini dengan matlamat untuk bekerja sebagai satu kumpulan bagi mencapai sasaran stesen Suria FM. Pada awalnya saya juga tertanya-tanya bolehkah saya mengalas tanggungjawab berat ini?

"Bukan saya sahaja malah semua pihak bekerja keras untuk sampai di tahap ini. Alhamdulilah, peningkatan ini sangat memberangsangkan dan saya juga berterima kasih kepada pendengar lama dan baru yang mengikuti Suria FM," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan