Giliran Soo Wincci Tunaikan Hasrat Keluarga Terlebih Dahulu

Diterbitkan: Rabu, 29 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUNGKIN ramai yang tidak tahu Ratu Dunia & Malaysia 2008/09, Soo Wincci, 24, mahu menunaikan hasrat ibu bapanya dahulu berbanding impian sendiri.

Bukan bermakna mengorbankan hasrat sendiri, sebaliknya dia cuba melunaskan satu per satu cita-cita yang ingin dikotakan.

Sebelum bergelar artis, wanita yang mesra disapa Wincci ini menyelesaikan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang kerana ibu bapanya mahu dia mempunyai ijazah dalam jurusan tersebut.

Kini, rasanya belum terlambat untuk Wincci mula mengatur langkah sebagai penyanyi dan pelakon yang menjadi impiannya sebelum ini.

Wincci baru sahaja pun muncul dalam drama Cina berjudul Injustice. Selain itu, dia turut sibuk dengan pembikinan album penuh yang akan dipasarkan pada hujung tahun ini.

“Saya mencipta lima buah lagu dari dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Setelah menjadi artis rakaman di bawah Beyond Artist Management pada hujung tahun lalu, saya telah mempunyai lima buah lagu yang dimuatkan dalam EP.

“Pada Disember ini, saya akan muncul dengan album penuh yang memuatkan 10 buah lagu. Album saya berkonsepkan 1 Malaysia,” katanya yang akan menjayakan Malam Gala Seni 1 Malaysia.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 10 November akan datang pukul 8 malam.

Dia akan bersama-sama rakan artis lain seperti Najwa, Ning Baizura, Aizat, Hail Amir dan ramai lagi akan membantu Persatuan Karyawan Malaysia bagi mengisi Dana Kelab Golongan Orang Kurang Upaya (KG KU).

Dana itu bertujuan membolehkan kelab berkenaan memiliki sebuah premis sendiri sebagai pusat perkhidmatan kelab yang memberikan latihan dan kursus kerjaya seperti jahitan, komputer, gunting rambut, membuat kek dan urutan tradisi.

Selain itu, dia juga akan menjelajah seluruh Malaysia untuk mempromosikan produk Avon memandangkan dia dilantik sebagai duta produk itu pada tahun ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan