Darling Mengaku Guna Dokumen Palsu

Diterbitkan: Rabu, 29 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri atau lebih dikenali dengan panggilan Darling diarahkan membayar denda RM15,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara selama tiga bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Jagjit Singh selepas menerima pengakuan salah Darling terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya pada Rabu.

Pada penghakimannya, Jagjit berkata, beliau telah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan secara panjang lebar oleh peguam Darling dan juga balasan pihak pendakwaan.

"Antara perkara yang saya pertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman adalah faktor bahawa tertuduh adalah pesalah pertama yang telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi," tambahnya.

Darling, 27, kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan. Dia hadir dengan ditemani suami, Nur Azlin Rahmat, 34, dan ibu bapa, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar.

Terdahulu, peguam A. Khailes merayu mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Darling yang sedang mengadung dua bulan.

"Tertuduh mengalami tekanan disebabkan kes ini. Dia tidak mendapat kontrak lakonan baru dan menjalani kehidupan sebagai suri rumah tangga sementara kes selesai," katanya.

Beliau menambah, pengadu kes tersebut, Mohamad Ridzuan Mat Hussin yang merupakan bekas rakan kongsi Darling di syarikat Nasridz Pictures Sdn Bhd juga telah menandatangani perjanjian penyelesaian pada 10 Mei lalu.

"Antara terma ialah semua pertikaian antara mereka termasuk kes ini diselesaikan. Pengadu juga telah membuat laporan pada 29 Jun lalu untuk menarik semula aduannya," katanya.

Khailes turut memanggil Mohamad Ridzuan yang mengesahkan bahawa dia telah mendapat semula wangnya berjumlah RM150,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank.

Selain itu, Khailes turut memberitahu bahawa Darling membuka akaun baru itu selepas akaun asal syarikat di CIMB Bank dibekukan pengadu.

Turut mewakili Darling ialah peguam Amir Feisal Ariff Mohamad Shukri.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah K.M Abu Bakar pula membalas dengan menyatakan walaupun akaun tersebut adalah akaun syarikat, tertuduh merupakan penandatangan tunggal akaun itu.

"Kesalahan yang dilakukan juga adalah serius kerana melibatkan elemen ketidakjujuran," katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandez.

Darling didakwa atas kesalahan menggunakan dokumen "Director's Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn. Bhd" yang diketahuinya palsu sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Ogos 2007 di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak, Cheras, di sini.

Bagi kesalahan itu, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1999 menerusi drama Selamat Hari Jadi Su III itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 6 Februari lalu dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Fakta kes menyatakan, polis membuat siasatan ekoran aduan Mohamad Ridzuan, 34, di Pandan Indah, di sini, pada 18 Mac 2008.

Siasatan menunjukkan bahawa Darling telah menggunakan dokumen itu yang mengandungi tanda tangan Mohamad Ridzuan selaku pengarah syarikat bagi membuka akaun syarikat di bank tersebut.

Dokumen itu juga turut mempunyai tandatangan Darling sebagai pengarah dan Mohd khairul Amin A.Ramli selaku setiausaha syarikat.

Bagaimanapun, laporan kimia mengesahkan bahawa tandatangan Mohamad Ridzuan berkemungkinan tidak dibuat olehnya.

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan