M.Rajoli Mahu Dua Isteri Hapus Sengketa

Diterbitkan: Isnin, 27 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kenangan indah Hashimah (kiri) dan Wan Chik ketika mengerjakan umrah yang turut ditemani M. Rajoli. Mudah-mudahan hubungan keruh wanita ini akan kembali jernih.
Kenangan indah Hashimah (kiri) dan Wan Chik ketika mengerjakan umrah yang turut ditemani M. Rajoli. Mudah-mudahan hubungan keruh wanita ini akan kembali jernih.

PEMERGIAN pelakon veteran M.Rajoli pada atau nama sebenarnya Mohd. Rajoli Mohamed Zin,65, pada 17 September lalu dianggap satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air dan sukar dicari ganti.

Allahyarham meninggal dunia akibat sesak nafas setelah menderita penyakit barah otak sejak tiga tahun lalu dan meninggalkan dua orang isteri bersama empat orang anak dengan isteri pertama.

Sayangnya ketika Allahyarham meninggal dunia, kelibat isteri kedua iaitu Wan Chik Daud,70, atau Wan Chik Othman tidak muncul kerana tidak mahu mengeruhkan suasana.

Sementara itu isteri pertama Allahyarham, Hashimah Md Din,55, pula berkata Wan Chik memberi kenyataan tidak benar kononnya dia diberitahu lewat mengenai berita kematian Allahyarham.

Wartawan Mingguan mStar, menemui kedua-dua balu Allahyarham bagi mendapatkan gambaran apa sebenarnya yang berlaku.

Apa yang diharapkan mudah-mudahan hubungan dua insan ini akan kembali jernih apatah lagi selepas M.Rajoli tiada.

***********

Pemergian M.Rajoli sudah pun seminggu berlalu. Namun salah faham di antara isteri kedua, Wan Chik dan keluarga isteri pertama, Hashimah Md Din masih belum terlerai.

Bertemu dengan keluarga Hashimah di kediaman mereka di AU3, Keramat, Kuala Lumpur Khamis lalu, mereka menyatakan rasa kesal apabila Wan Chik telah memberikan kenyataan palsu kepada pihak media kononnya khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya daripada pihak keluarga Hashimah ialah sewaktu jenazah sudah siap untuk dikebumikan.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Arif, 23, dia telah menghantar SMS khas kepada Wan Chik walaupun pada ketika itu Arif berada dalam situasi kelam kabut di mana, Allahyarham sedang tenat di Hospital Ampang, manakala kakaknya pula sedang dalam proses kelahiran di hospital yang sama.

“Saya hantar SMS kepadanya awal-awal lagi. Masa itu dia tahu ayah dah tenat. Kami juga kelam-kabut dengan kelahiran baru anak kakak saya di hospital yang sama. Arwah ayah di tingkat 6 dan kakak pula di tingkat 4.

“Jadi macam mana kami nak layan? Dia kata saya SMS dia seperti saya SMS pada orang lain. Itu tidak benar, dia menerima SMS khas daripada saya.

“Kalau nak diikutkan, dia kena ambil tahu tentang arwah masa sakit lagi. Jadi, jangan salahkan kami jika tidak berkesempatan bertemu dengan arwah ayah.

“Saya pernah nak telefon dia sebelum ini untuk berdamai dan waktu itu mak dan adik-beradik yang lain tidak tahu. Tetapi dia telah menghantar SMS yang saya berikan kepadanya itu kepada keluarga saya. Entah apa tujuannya, saya tak pasti,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Hashimah pula walaupun berlaku salah faham di antara Wan Chik terhadap keluarganya, rumah dia sentiasa terbuka kepada madunya itu.

Mengakui mereka terasa sunyi tanpa Allahyarham M.Rajoli, Hashimah juga bersyukur semasa M.Rajoli sedang sakit, Allahyarham telah pun berjalan ke seluruh Malaysia sebagai terapi agar keadaan kesihatannya pulih.

“Selama ini, segala makanan yang diinginkannya kami dapat tunaikan. Mana taknya, hari-hari dia tengok program Jalan-Jalan Cari Makan, semua lokasi tempat makan dia suruh kami salin alamatnya,” tutur Hashimah sambil tersenyum melihat gambar-gambar kenangan bersama suaminya pada zaman muda.

Bercerita pula tentang perwatakan Allahyarham yang banyak berubah pada saat-saat akhir sebelum pemergiannya, Hashimah sempat menyarungkan baju raya buat Allahyarham.

“Memang apa yang sempat, kami akan lakukan untuk memenuhi apa sahaja yang dihajati arwah suami. Selepas pembedahan di kepala empat tahun lalu, arwah berkeadaan seperti biasa dan sering membuat lawak. Cuma tahun ini sahaja dia banyak tidur dan senyap.

“Seminggu sebelum arwah pergi, dia dah mula tidak membuka mata dan kerap tidur. Masa itu saya dah rasa tak sedap hati.

“Dia memang ada merancang, jika sembuh dia nak jadi imam semula dan mengajar mengaji. Kalau tak sempat, Arif sahaja yang menjadi penyambung hasratnya itu,” katanya.

Arif pula berkata, arwah sempat berpesan agar jangan bergaduh antara satu sama lain dan jangan tinggalkan sembahyang serta mengaji.

Arwah mahu lihat kami berbaik – Wan Chik

Bagi isteri kedua pelakon veteran itu, Wan Chik Daud atau nama sebenar Wan Chik Othman, 70, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan selain pasrah dan reda dengan pemergian suami tercinta pada 17 September lalu. Dia bersyukur pemergian Allahyarham pada bulan mulia ini dalam keadaan yang sudah bersedia.

Namun begitu, jauh di sudut hati bekas juruhebah radio RTM ini mengakui agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat Allahyarham untuk melihat hubungan baik kedua-dua isterinya itu di hujung hayatnya.

“Saya terkilan sebab salah satu hasrat arwah tidak kesampaian iaitu melihat hubungan kami baik. Bukan saya tidak mahu berbaik, sebenarnya setiap hari saya berdoa agar Allah melembutkan hati keluarga pihak isteri pertama untuk menerima saya.

“Tapi saya reda ketentuan Allah kerana tiada sebarang petanda kami akan berbaik sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir. Kini jika kami berbaik sekalipun sudah tiada guna sebab arwah sudah tiada,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang ketidakhadirannya semasa majlis pengebumian, kata Wan Chik, tiada gunanya dia pergi menjenguk jenazah suami yang sudah terbujur kaku sedangkan semasa hayat dia tidak dapat bertemu dengan Allahyarham. Malah dia juga tidak mahu kehadirannya pada majlis pengebumian tersebut bakal mengeruhkan lagi keadaan.

“Bukan saya tidak mahu pergi. Sebagai isteri saya amat merindui suami setelah setahun setengah tidak berjumpa, cuma saya tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ dengan keluarga isteri pertama.

“Kehadiran saya pada majlis pengebumian tidak dirasai oleh arwah. Bagi saya, tiada gunanya untuk menunjuk kasih sayang dengan menangis di kubur,” jelasnya.

Seperti sebelum kematian Allahyarham, dia masih menanti langkah pertama pihak keluarga madunya, Hashimah untuk menghulurkan tangan sebagai tanda berbaik. “Saya tidak bersalah dalam hal ini, walaupun saya isteri kedua arwah tetapi saya lebih tua daripada Hashimah. Jika mereka selangkah mahu berbaik dengan saya, saya dua langkah lagi lebih dari itu.

“Saya tahu hukumnya putuskan hubungan sesama Islam tapi ia bukan berpunca daripada saya. Jadi takkan pula saya yang kena meminta maaf, saya juga ada maruah,” katanya.

Menurut Wan Chik, sebelum sengketa yang tercetus tiga tahun lalu itu, hubungan antara mereka baik. Malah mereka sempat menunaikan umrah dan haji bersama-sama.

“Suatu masa dahulu kami sekeluarga memang rapat, kami pergi menunaikan umrah dan haji bersama-sama. Tapi entah mengapa mereka memutuskan hubungan ini secara tiba-tiba ketika saya meminta untuk menjaga arwah secara bergilir-gilir sewaktu dia sakit.

“Mereka tidak beri saya jaga dengan alasan saya isteri kedua, saya sangat berkecil hati ketika itu. Selepas dari pertengkaran yang tercetus saya tidak lagi ke rumah mereka.

“Tapi saya masih lagi berjumpa suami bagi membantunya menjalankan sesi fisioterapi dengan bantuan jiran untuk bawa dia keluar dari rumah tersebut. Sehinggalah pada 27 Mac 2009 mereka memutuskan untuk tidak membenarkan arwah menjalani rawatan fisioterapi lagi,” ujarnya.

Sejak itu perhubungan antara Wan Chik dengan Allahyarham terputus. Biarpun sekadar dapat melihat dari bumbung rumahnya sahaja, Wan Chik memberitahu dia hanya mampu mengubat kerinduan dengan ditemani kenangan indah bersama arwah.

“Rumah kami tidak jauh, saya masih nampak bumbung rumah mereka. Hanya kenangan manis kami ketika bersama sahaja yang mampu mengubat kerinduan saya kepadanya.

“Saya sentiasa kirimkan doa buat suami. Walaupun kami tidak berjumpa tapi saya sering termimpi berjumpa dengannya,” kata Wan Chik yang berkahwin dengan M.Rajoli pada November 1986.

Dalam pada itu, Wan Chik mengakui dia juga disahkan menghidap katarak. Penglihatan mata kanan yang semakin kabur menyebabkan Wan Chik terpaksa melakukan pembedahan kecil pada akhir minggu ini.

Hari ini, Wan Chik tidak mahu menangis lagi kerana dia sudah lama mengalirkan air mata.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan