Drama Muzikal Ubah Manusia Jadi Insan Lebih Baik

Diterbitkan: Khamis, 16 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pernahkah anda dengar mengenai drama muzikal yang boleh mengubah manusia menjadi insan yang tingkah lakunya lebih baik selain mencungkil bakat terpendam dalam diri mereka?

Banyak di antara kita yang mempunyai tanggapan bahawa mempelajari muzik hanyalah sekadar untuk mengisi masa lapang dan memperoleh bakat tambahan, tanpa menyedari bahawa ia juga dapat mengubah manusia ke arah hasil yang positif.

Drama muzikal bertajuk Lawuita yang dianjurkan oleh E-Major, sebuah pusat latihan kualiti bukan ortodoks, telah membuktikan bahawa muzik boleh membantu melakukan perubahan tingkah laku yang signifikan.

Lawuita adalah drama yang sebahagian besarnya berkisar tentang kecantikan dalaman seorang wanita yang hodoh dan mencari cinta sebenar daripada keluarga, jati diri dan alam semula jadi dalam dunia manusia namun tidak seorangpun yang menghargainya sehinggalah beliau meninggal dunia.

Pengarah Lawuita, Hsing Yi Hsuan berkata drama itu bukan sahaja mengenai seni, tetapi juga mempunyai kaitan dengan komunikasi, komitmen dan tanggungjawab.

"Kebanyakan pelajar saya menunjukkan perubahan setelah mereka mengambil bahagian dalam drama ini dan menyertai akademi ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pelajar itu sedar siapa mereka dan tujuan mereka berada di sini, apakah tanggungjawab dan sebab mereka perlu komited.

"Lawuita juga merupakan platform amali bagi pelajar kami meneroka mengenai alam, keindahannya, tanggungjawab dan berkongsi pengalaman sebenar mereka menerusi pengajaran kreatif dalam drama, muzik, seni halus atau tarian.

"Keseluruhannya terdapat 120 seniman di atas pentas... merekalah yang menyiapkan kostum dan solekan, pemasaran malah pengurusan," katanya.

Kemuncak konsert yang membabitkan kos RM900,000 ini akan diadakan pada 13 dan 14 Nov ini di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac) manakala album Lawuita pula dijangka diterbitkan Februari tahun depan.

Drama muzikal dua hari itu akan menampilkan kaum berbeza yang berganding bahu di atas pentas dan menyanyi dalam bahasa yang sama.

Hsing berkata akademi itu sentiasa membimbing pelajarnya agar menjauhi pola perlakuan negatif atau yang tidak diingini selain berjaya mencungkil bakat terpendam mereka menerusi sokongan dan tenaga bantuan positif.

"Oleh itu, mereka boleh menyerlah dalam cara yang mereka atau ibu bapa mereka sendiri tidak pernah menyangka sama sekali," katanya.

Beliau berkata banyak anggota keluarga, misalnya ibu bapa yang kembali hidup bersendirian, menghantar anak mereka ke akademi itu setelah si anak enggan meluahkan isi hati kepada keluarga masing-masing, jadi mereka percaya E-major dapat menyatukan semula mereka sebagai sebuah keluarga.

Salah seorang pelajar, Simon Chan, 25, berkata beliau menemui keupayaan, kekuatan dan kelemahannya daripada drama itu.

"Sejurus selepas membabitkan diri dalam organisasi ini, saya menemui semula diri dan terus memberi komitmen... tahap komitmen dalam kalangan rakan-rakan saya di sini sangat-sangat menyentuh perasaan saya," katanya.

Than Lok Tung, 15, berkata tingkah lakunya berubah sejak beliau menyertai akademi itu di mana beliau belajar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan merendah diri.

Sementara itu, Bowie Tan, 14, yang sependapat dengan Than, berkata beliau bersikap kasar terhadap ibunya sebelum menyertai Lauwita namun kini berjaya mengikis tingkah laku negatif itu.

"Sebelum menyertai akademi ini, saya seorang yang pentingkan diri dan bertengkar dengan ibu saya setiap hari tetapi dia kini terkejut apabila melihat adab dan ciri-ciri yang baik dalam diri saya," katanya sambil menitiskan air mata.

Akademi berkenaan yang ditubuhkan di Malaysia pada 2004 mempunyai 9,000 pelajar dan 19 cawangan di seluruh dunia termasuk Taiwan, Amerika Syarikat dan Austria. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan