Jalal Seronok Beraya Dengan Anak Dan Cucu

Diterbitkan: Isnin, 13 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

APABILA meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, perasaan seronok dan meriah itu lebih dirasai dan penuh bermakna.

Begitu juga dengan aktor terkenal Datuk Jalaluddin Hassan (gambar) yang tentunya diselubungi perasaan seronok apabila melihat anak-anaknya bergembira di Hari Raya ini. Sambutan Hari Raya diraikan tanpa mengira usia dan sebagai ketua keluarga, Jalaluddin atau lebih mesra dengan nama Jalal itu sekadar menjadi pemerhati kepada yang lebih muda. Yang penting, dia akan cuba membahagiakan anak-anak dengan memenuhi keperluan Raya mereka seperti membeli baju baru.

Sementara kuih-muih dibuat dan disediakan sendiri oleh isteri dan anak-anaknya. Paling mengujakan apabila dapat beraya dengan dua orang cucunya.

“Kelainan tahun ini apabila dapat beraya dengan dua orang cucu yang semakin membesar. Tidak lama lagi saya akan menerima dua orang cucu lagi. “Alhamdulillah, nampaknya bertambah lagilah keluarga saya,” katanya kepada mStar Online.

Menariknya, pada setiap tahun, rumah Jalal di Ampang Jaya akan menjadi lokasi untuk adik-beradiknya berkumpul dan meraikan Hari Raya bersama-sama.

“Kebiasaannya, abang Musa (Ketua Polis Negara) akan sampai ke rumah saya terlebih awal. Dalam setahun dua ini, dia akan datang bersama-sama keluarganya selepas solat Hari Raya,” cerita Jalal.

Diikutkan, Jalal mempunyai 22 orang adik-beradik termasuk hasil perkahwinan dengan dua ibu tirinya. Suasana riuh rendah sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga besar Jalal ditambah pula dengan bilangan lapan orang anaknya.

Ditanya tentang rumah terbuka, Jalal dan keluarga tidak menetapkannya sebagai suatu tradisi yang perlu dilakukan setiap tahun. Namun kebiasaannya, dia akan menjemput kesemua adik-beradik untuk berkumpul seperti melakukan kenduri semasa bulan Ramadan.

“Dalam setahun dua ini, saya tidak membuat rumah terbuka tetapi anak-anak yang akan mengatur dan mengendalikan rumah terbuka untuk rakan-rakannya di rumah saya,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan