Edry Yakin Magika Dapat Kutip RM4 Juta

Diterbitkan: Isnin, 13 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUAT pertama kalinya, Edry Abdul Halim (gambar) cuba memecah tembok industri perfileman tempatan dengan melakukan eksperimen menerusi filem Magika yang akan ditayangkan di pawagam mulai 23 September ini. Pengarah filem berusia 34 tahun itu dengan beraninya juga meletakkan Magika sebagai kayu pengukur sama ada filem ‘seni’ seperti itu mampu menarik perhatian penonton atau tidak. Jika gagal mencapai sasarannya untuk mengutip RM4 juta sebagai pulangan, Edry menganggap dia perlu berhenti ‘berangan’ untuk membikin filem seperti itu sebaliknya memfokuskan kepada filem ‘komersial’.

“Sebolehnya saya tak mahu membuat filem yang terlalu mengejar komersial sebaliknya cuba menyeimbangkan antara nilai komersial dan seni dalam sesebuah filem itu.

“Dari sudut seni yang saya sentuh dalam Magika adalah genre Melayu Muzikal dan fantasi yang tiada dalam filem lain. Dalam masa yang sama, saya juga menggunakan elemen komersial dengan memperkenalkan ramai pelakon terkenal, banyak muzik dan elemen janaan imej berkomputer (CGI),” katanya kepada mStar Online. Magika menampilkan artis terkenal seperti Diana Danielle, M. Nasir, Ziana Zain, Ning Baizura, Mawi, Aznil Hj Nawawi, Fauziah Ahmad Daud dan Sharifah Amani.

Salah satu lagunya, Penyembuh Rindu nyanyian duet Mawi dan Diana kini sedang rancak dimainkan di corong-corong radio. Lagu-lagu lain yang dimuatkan ialah Gebang (Maya), Asal Menjadi Cantik (Ning), Rahsia Awet Muda (Ziana), Kita Bersaudara (KRU), Mana Nak Lari (Aleya, Amani, Adibah dan Ziana) dan Naga Tasik Chini (M. Nasir, Mawi, Diana dan Fimie).

Edry yang berpengalaman selama 18 tahun dalam bidang gubahan muzik yakin dengan kualiti yang ada dalam filem ini. Malah dia turut mencabar penonton agar mengubah citarasa mereka.

“Saya bukan nak ‘angkat bakul’ tetapi saya tetap hendak katakan filem ini bagus bukan disebabkan saya atau Diana Danielle. Saya yakin filem ini boleh mencapai RM4 juta.

“Filem ini disasarkan kepada semua peringkat umur dan boleh ditonton oleh satu keluarga. Walaupun filem ini lebih berkisar kepada budaya Melayu, saya rasa dengan konsep 1Malaysia, golongan bukan Melayu pun boleh faham cerita ini,” ujarnya. Katanya, filem tersebut dijangka akan ditayangkan di 60 buah pawagam tanah air.

Secara ringkasnya, Magika mengisahkan perjalanan Ayu dan Malik di dunia fantasi bernama Magika selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi. Sewaktu berada di Magika, mereka bertemu dengan watak-watak mitos yang sebelum ini hanya diketahui menerusi pembacaan sahaja. Antara cerita dogeng rakyat yang di ketengahkan dalam Magika seperti Badang, Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bunian, Pak Pandir, Pokok Bersaudara, Bawang Putih Bawang Merah, Awang Kenit, Mahsuri, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Nujum Pak Belalang dan Hang Tuah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan