Yana Menyanyi Semula

Diterbitkan: Sabtu, 11 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUNGKIN ramai yang mengenali Yana atau Norliana Shamsudin (gambar) sebagai pengarah dan pelakon. Wanita berusia 26 tahun ini sebenarnya pernah mengeluarkan sebuah album berjudul Ceria pada tahun 2004.

Namun kerana peluang mengembangkan bakat dalam lakonan dan pengarahan lebih terbuka luas, Yana terpaksa melupakan hasratnya untuk terus menyanyi.

Bagaimanapun, bagi mengubat kerinduan dalam nyanyian, Yana akan muncul dengan sebuah single duet bersama kumpulan baru Ivy dengan lagu berjudul Dari Aku, tidak lama lagi.

"Lama rasanya meninggalkan nyanyian, ada peminat-peminat yang minta agar saya menyanyi semula. Buat masa sekarang untuk buat album memerlukan komitmen yang tinggi.

"Namun ada kumpulan baru yang mengajak saya untuk berduet bersama dalam single mereka. Kalau sekadar menyanyi tidak ada salahnya, cuma jika berkaitan dengan promosi dan persembahan yang memerlukan komitmen, ia agak sukar sedikit," katanya yang sibuk dengan penggambaran drama Siti Kelembai terbitan TV3.

Akur dengan jalan hidup yang lebih terarah ke bidang lakonan dan pengarahan, Yana memberitahu dia kini lebih pasti apa yang dilakukan dalam hidup.

"Saya hadir dalam industri hiburan sebagai seorang penyanyi iaitu pada tahun 2004 tetapi album itu tiada sebarang promosi. Kebanyakan lagu-lagu dalam album tersebut digunakan sebagai tema dalam filem seperti Hingga Hujung Nyawa, Mami Jarum dan drama-drama terbitan MIG Production.

"Masa itu saya tidak tahu lagi bidang mana yang lebih sesuai untuk saya. Sekarang selepas berlakon dan mengarah saya rasa ia lebih sesuai dengan saya berbanding nyanyian," katanya.

Bercerita tentang bidang pengarahan, Yana memberitahu buat masa ini dia lebih menumpukan kepada bidang lakonan terlebih dahulu. Namun begitu dalam pada masa yang sama dia sedang mengumpul lebih banyak ilmu dalam bidang pengarahan.

"Tahun ini saya tidak ada mengarah apa-apa filem. Saya hanya berlakon sahaja, sebab tawaran untuk berlakon banyak. Mungkin tahun depan saya akan mulakan projek filem terbaru.

"Lagipun bila saya berlakon, saya juga sebenarnya belajar. Dari situ saya nampak bagaimana untuk memperbaiki lagi kelemahan-kelemahan saya sebelum ini," katanya yang mengarah filem berjudul Selamat Pagi Cinta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan