Ifa Raziah Mahu Pulih Hubungan Dengan Adik

Diterbitkan: Sabtu, 11 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

- Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH
- Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

PENYANYI dangdut dan pelakon popular, Ifa Raziah (gambar) berharap hubungannya dengan adik yang memukulnya dengan topi keledar pada 3 Jun lalu kembali pulih pada Hari Raya ini.

Perselisihan faham berlaku apabila Ifa Raziah meminta adik lelakinya menjelaskan segala hutang kepada arwah ibu mereka. Ekoran kejadian itu, dia telah membuat laporan polis.

"Sambutan Hari Raya tetap diteruskan walaupun ada kesedihan di pagi raya. Ibu saya baru meninggal dunia pada 1 Jun lalu.

"Walaupun kita pernah terluka di hati, kita mesti tetap bermaaf-maafan. Pertalian antara adik-beradik tak akan putus walau macam manapun. Saya cuba memperbaiki hubungan walaupun pernah berlaku sesuatu yang kurang baik sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Ifa mengakui, adiknya masih tidak menghubunginya sehingga sekarang.

Dia berharap sinar lebaran akan mendorong adiknya untuk berjumpa dengannya, kerana dia adalah anak yang sulung.

"Saya dah tak ada orang tua saya, maka saya harapkan adik-beradik saya untuk datang ke rumah. Kalau mereka masih ingatkan saya sebagai kakak mereka, datanglah ke rumah saya.

"Pintu rumah saya sentiasa terbuka pada setiap masa untuk mereka," ujarnya yang sedia untuk memastikan adiknya tetapi akui sukar untuk melupakan peristiwa hitam tersebut.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbarunya, Ifa berkata, dia akan melancarkan produk kosmetik tempatan terbaru iaitu Natasha Beauty by Ifa Raziah selepas Hari Raya ini.

Katanya, majlis pelancaran itu bertempat di Berjaya Times Square, pada 16 September, pukul 7 malam.

Ifa sebelum ini memasarkan produk penjagaan kulit jenama Zensoria yang diimport dari Amerika Syarikat.

Mengenai perkembangan seni, Ifa bakal melancarkan album kelima.

Album terbaru itu berkonsepkan balada pop. Ia berjudul Luar Biasa dan antara lagunya ialah Luar Biasa, Tanpaku Sedar dan Selamat Tinggal Dunia.

"Saya berbalik ke konsep album saya yang pertama iaitu balada kerana ingin album terbaru saya lain daripada yang lain," jelasnya.

Bagaimanapun kata Ifa, dia tetap menyanyi lagu dangdut. Jelasnya lagi, album balada itu adalah untuk pasaran, stesen radio dan televisyen.

"Biar peminat saya nilai kebolehan saya menyanyi, berlakon, mengacara (program Wanita Hari Ini), dan berniaga," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan