Konsert Ditunda : Sheila Majid Kecewa - Berita Hiburan | mStar

Konsert Ditunda : Sheila Majid Kecewa

Diterbitkan: Rabu, 8 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GARA-gara keadaan politik yang belum reda antara Malaysia dan Indonesia, penganjur konsert Sheila Majid, TIS Communication membuat keputusan menunda konsert yang dijadualkan berlangsung pada 23 September ini di Jakarta, Indonesia.

Konsert tersebut bagaimanapun dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2011.

Bagi penghibur terkenal itu, dia melahirkan rasa kecewa sebaik mendapat tahu konsertnya itu telah dibatalkan.

"Sudah pasti perasaan kecewa itu ada tetapi saya tidak mahu terus larut dalam emosi. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah dan melihatnya dari sudut yang positif," katanya memetik akhbar Utusan Malaysia, Rabu.

Menurut laporan akhbar itu, Sheila berkata konsertnya itu hanya ditunda dan bukannya dibatal dan sebagai penghibur dia bukan sahaja memikirkan keselamatan dirinya tetapi turut memikirkan keselamatan peminat dari Malaysia dan Indonesia yang akan datang ke konsert itu nanti.

Sheila dan rombongannya merancang berangkat ke Jakarta 17 September ini untuk tujuan promosi konsert yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC).

Secara peribadi Sheila tidak keberatan meneruskan konsertnya itu kerana jaminan penganjur untuk mengawal ketat dia dan rombongannya sepanjang konsert berlangsung tetapi demi demi keselamatan dan bimbang berlaku sebarang insiden dia reda dengan keputusan yang dibuat.

Sheila juga mengakui telah membuat persiapan rapi sejak dua minggu lalu, manakala perancangan selama setahun diambil bagi meraikan ulang tahun ke- 25 pembabitannya dalam bidang seni.

Sheila juga berkata Jakarta sudah dianggapnya sebagai rumah kedua dan ramai peminatnya di sana sudah lama mahukan konsertnya diadakan di negara itu.

Penyanyi ini berharap kemelut ini dapat diselesaikan segera memandangkan kedua-dua negara sudah lama menjalinkan hubungan akrab.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan