Kumpulan Sepah Tetap Bersama

Diterbitkan: Ahad, 5 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota kumpulan Sepah berjanji untuk tetap bersama-sama. - Foto oleh AZMAN GHANI
Anggota kumpulan Sepah berjanji untuk tetap bersama-sama. - Foto oleh AZMAN GHANI

KUMPULAN Sepah bukanlah nama asing dalam industri ini lagi. Lebih setahun mengorak langkah, karier juara Raja Lawak musim ketiga ini dalam bidang lakonan semakin berkembang.

Setakat ini, karier tiga anak muda berasal dari Kulai, Johor yang terdiri daripada Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, Mohd. Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Muhamad (Shuib) ini masih terikat dengan pihak Astro yang mempunyai baki kontrak selama setahun lagi.

Selepas tamat kontrak dengan Astro, mereka berkemungkinan akan bergerak sendiri tetapi bagaimanapun berjanji untuk tetap bersama-sama.

Bercerita tentang perkembangan seni Sepah, mereka akan memasuki penggambaran drama 26 episod Bujang Sepah pada awal Oktober ini dan menjayakan pementasan teater Sri Mersing di Singapura selepas teater itu dipentaskan di Istana Budaya pada Mac tahun ini.

Mereka mengakui semakin selesa dan yakin untuk menceburi dunia lakonan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Sepah akan muncul dalam telefilem Dodol Si Bujang Sepah pada 12 September, 12 tengah hari di Astro Prima (saluran 105).

Shuib Harap Dapat Beraya Dengan Keluarga

Semua umat Islam pastinya mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga tercinta. Begitu juga dengan Shuib yang mahu beraya dengan keluarga tercinta berbanding tahun lalu.

Pada Hari Raya Kedua tahun lalu, dia mempunyai tugas di konti radio Era. Jadi, sebab itu dia berharap agar tahun ini tidak memberikan apa-apa halangan kepadanya.

Menyentuh tentang persiapan Raya, anak tunggal dalam keluarganya itu hanya melakukan persiapan ala kadar memandangkan keluarganya tidak besar.

“Saya tolong keluarga beli baju Raya untuk 10 orang termasuk sanak saudara. Jika tahun lepas saya membelanjakan RM5,000 tetapi tahun ni kurang bajet sedikit kepada RM2,500,” ujarnya.

Jep Cuti Seminggu

Berlainan dengan Jep, perayaannya disambut sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Dia juga berhasrat untuk menghabiskan masa seminggu di kampung.

“Tentang persiapan Raya, saya dah beri awal-awal lagi duit kepada keluarga untuk mereka membeli sedikit demi sedikit semasa bulan Ramadan. Kami hanya membeli-belah di Johor,” tuturnya.

Mamat Beraya Dengan Kereta Baru

Selepas kehilangan kereta Honda pada tiga bulan lalu, Mamat meraikan Hari Raya tahun ini dengan kereta barunya berjenama Subaru.

Jadi, Raya tahun ini dia terpaksa mengurangkan belanja kerana banyak menghabiskan duitnya untuk membeli kereta.

Seperti biasa, jika ditanya tentang persiapan, Mamat gemar membeli pada saat-saat akhir.

“Tahun lepas, saya banyak habis duit, jadi tahun ini saya nak kurangkan berbelanja dan tak nak membazir.

“Pada petang Raya, saya nak berada di kampung,” katanya yang dijangka pulang ke kampung dalam dua atau tiga hari sebelum Hari Raya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan