Roslin Bertegas Raja Azmi Tiada Kaitan Perceraiannya

Diterbitkan: Khamis, 2 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

- Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT
- Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Roslin Hashim (gambar),35, menegaskan produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu perceraian yang berlaku antara dia dan bekas isteri, Norhayati Othman,38.

Roslin yang mengucapkan syukur selepas isu perceraian selesai pada Rabu menambah, dakwaan mengaitkan Raja Azmi hanya fitnah dan tidak sepatutnya ditimbulkan pada prosiding mahkamah rumah tangganya.

“Di bulan Ramadan janganlah membuat fitnah. Isu Raja Azmi tidak sepatutnya berlaku dan memang tidak relevan dalam kes perceraian saya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Raja Azmi akan mengambil tindakan undang-undang (saman) kepada mana-mana pihak yang mensensasikan nama dia dalam isu perceraian ini,” tambahnya.

Bagaimanapun, Roslin sendiri mengakui dia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Mengulas mengenai perceraian itu, Roslin berkata, dia reda dan menerima apa yang berlaku sebagai takdir buat dirinya.

“Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Saya merancang perkahwinan itu kekal selama-lamanya, tapi ia tidak berlaku,” ujar Roslin yang percaya setiap perkara ada hikmahnya.

Roslin juga menafikan bahawa dia serik untuk mendirikan rumah tangga di masa depan selepas dua perkahwinannya berakhir dengan perceraian.

“Tapi tak tahulah kalau perempuan yang serik dengan saya,” tambahnya secara berseloroh.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada Rabu, mensabitkan bahawa Roslin dan Norhayati,38, sah bercerai talak satu dengan lafaz "I cerai you-lah".

Lafaz cerai itu dibuat semasa Norhayati bersemuka dengan Roslin di bilik nombor 533, Hotel Corus, di sini pada pukul 8.32 malam, 7 ogos lalu selepas mengetahui bahawa Roslin berada di bilik yang didaftarkan di bawah nama Raja Azmi.

Semasa lafaz itu dibuat, Norhayati bersama ahli keluarganya.

Roslin dan Norhayati mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu di Hotel Flamigo, Ampang, di sini, selepas berkenalan tidak sampai lima bulan.

Ia merupakan perkahwinan kedua Roslin, yang sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila perkahwinan pertamanya dengan Faizah Mohamad, 32, pada 30 Januari 2009 hanya mampu bertahan selama 12 hari.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan