SimplySiti Sasar Pasaran Indonesia

Diterbitkan: Selasa, 31 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Produk kosmetik SimplySiti yang diasaskan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, dijangka mengembangkan sayapnya ke Indonesia tahun depan, selain meninjau peluang pemasaran di negara itu.

Siti Nurhaliza yang juga Presiden Simplysiti Sdn Bhd berkata, setakat ini permintaan produk keluaran syarikat itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

"Kami sedang menjalankan kajian dan pembangunan produk penjagaan badan dan merancang mengeluarkannya tahun hadapan," kata Siti Nurhaliza ketika ditemui pada majlis pelancaran SimplySiti "Gold Edition" dan majlis ulang tahun perkahwinan beliau, di sini, Isnin.

SimplySiti juga menyasarkan untuk mengeluarkan lebih daripada 20 jenis produk.

Gold Edition telah berada dalam pasaran pada pertengahan Ogos lalu dan jualannya memberangsangkan.

Jenama yang mendapat pengiktirafan halal itu, diproses di Korea dan dipasarkan pada harga yang berpatutan.

Antara rangkaian Gold Edition keluarannya ialah Simply 4 Eye Color, Simply Shading Blush, Simply Gorgeous Lip Colour dan Simply Glitz Lip Gloss.

Simply 4 Eye Color yang turut mendapat permintaan ramai kerana mempunyai empat warna asas bagi mendapatkan mata yang menawan didatangkan bersama warna baharu iaitu asas pembayang, hitam, warna cerah coklat dan warna pembayang mata emas.

Produk SimplySiti boleh didapati di semua cawangan Watsons, Jusco Alpha Angle, Taman Equine, Cheras Selatan & Ayer Keroh Melaka dan kedai konsep kiosk SimplySiti yang diiktiraf di seluruh negara.

Selain itu SimplySiti juga boleh didapati di kaunter Sogo sepanjang bulan Ramadan. -BERNAMA.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan