Farrah Adeeba Bimbang Tinggalkan Anak

Diterbitkan: Selasa, 31 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN mudah pengacara Farrah Adeeba Mohamed Ashraf(gambar), 32, hendak meninggalkan anak angkatnya, Mohammad Razique Abdullah, yazng berusia setahun setiap kali mempunyai urusan di luar.

Pelbagai perasaan menyelubungi dirinya dan pernah sekali terbit rasa bimbang ketika menjalani penggambaran drama Nurul Iman di luar Kuala Lumpur walaupun anaknya itu dijaga oleh ibu dan neneknya.

Kata Farra perasaan rindu terhadap anak tidak dapat dibendung sehinggalah dia bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku setiap kali meninggalkan anak kesayangannya itu.

“Apabila berada jauh dari anak saya, tentu saja perasaan rindu itu hadir dan saya sentiasa teringatkannya,” kata Farrah.

Bercerita mengenai dunia lakonan, kata Farah dia menerima tawaran berlakon drama Nurul Iman selepas mendapat tawaran dari syarikat produksi berkenaan yang berkehendakkan individu yang berkemahiran bercakap Bahasa Arab.

Atas sebab itu pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Akademi Al-Quran (AQ) dan Cari Menantu ini sukar untuk menolak tawaran yang diberikan.

“Pada mulanya saya tak terfikir untuk berlakon, tetapi memandangkan mereka mencari seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Arab, saya terima juga. Lagipun, syarikat itu banyak menerbitkan drama genre Islamik dan dakwah. Misalnya drama Cinta Madinah,” katanya kepada mStar Online.

Drama 13 episod Nurul Iman sedang disiarkan di RTM2 pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang, mulai 11 Ogos lalu.

Turut membintanginya oleh Abdul Rahman Suud, Zarina Zainoordin, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, Faizal Yusuf dan Zainab Othman.

Penonton diajak berkongsi paparan kehidupan watak Hijaz, pemuda yang menjadi mangsa dengki abang-abangnya yang tamak dan ingin membolot harta ayah mereka hingga sanggup menganiaya adik mereka sendiri.

Menurut Farrah, setelah melalui pengalaman berlakon, dia akui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab itu. Jika menjadi pengacara, dia boleh menjadi diri-sendiri, tetapi berlainan pula perasaannya apabila bergelar seorang pelakon.

“Saya rasa sangat tercabar apabila perlu melakonkan watak yang bukan menjadi diri-sendiri. Misalnya saya perlu menangis dalam satu babak itu, sedangkan saya bukanlah seorang yang penyedih.

“Tetapi akhirnya saya berjaya melakukannya setelah memikirkan perasaan bagaimana jika orang yang disayangi meninggalkan saya,” beritahunya yang telah menyelesaikan penggambaran drama tersebut.

Bermula Jun lalu, dia belum menerima apa-apa tawaran kerja melainkan mengacara program Nasi Lemak Kopi 'O'.

Selain itu, dia juga menguruskan butiknya, Najjah yang berhadapan dengan Giant, Kota Damansara. Butik yang telah beroperasi hampir lebih setahun lalu itu menyediakan busana muslimah berkonsepkan kontemporari.

Antaranya ialah tudung yang dijual pada harga RM15 hingga RM99 manakala baju pula berharga RM79 hingga RM439.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan