Raja Azmi Ditahan Sebagai Saksi Berhubung Saman Sivil RM5.9 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 20 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman ditahan kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah berharga RM5.9 juta.

Hakim Datuk Lim Yee Lan mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit filem ...Dalam Botol itu kerana kegagalannya hadir pada 12 Julai lalu yang menyebabkan prosiding mahkamah terganggu sekali gus mengakibatkan kelewatan perbicaraan kes tersebut.

Sedangkan sapina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah telah diserahkan pada 9 Julai lalu, pukul 8.15 malam yang diletakkan di bonet kereta mewah Mercedez Benz B170 bernombor pendaftaran WRC 9945 selepas Raja Azmi dikatakan enggan menerimanya.

Kereta berkenaan ketika itu berada di tempat letak kereta Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini, iaitu di mana majlis perkahwinan kali kedua pemain badminton negara, Roslin Hashim, 35, bersama Norhayati Othman, 38, berlangsung.

Raja Azmi, 51, yang dibawa ke mahkamah pada pukul 9.25 pagi, Jumaat diiringi dua anggota polis. Dia bagaimanapun memaklumkan tidak tahu mengenai prosiding mahkamah kerana tidak menerima sapina.

Lim: Kamu katakan tidak menerima sapina tetapi peguam mengatakan telah menyerahkan sapina. Siapakah yang berbohong?

Raja Azmi: Saya tidak berbohong.

Lim juga memberitahu Raja Azmi bahawa perbuatannya boleh menyebabkan dia berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah.

“Kamu memandang ringan perkara ini. Kes ini bergantung kepada keterangan dan akuan bersumpah yang diikrarkan kamu. Saya akan melepaskan kamu dengan jaminan. Kamu perlu hadir pada prosiding seterusnya sehingga kes selesai,” tambah Lim.

Sementara itu, hasrat suami Raja Azmi, Jalani Mohd Sidek untuk menjamin isterinya tidak tercapai selepas peguam Su Tiang Joo memaklumkan bahawa bekas jaguh badminton negara itu telah diisytiharkan sebagai muflis.

Justeru itu, tanggungjawab sebagai penjamin digalas oleh rakan Raja Azmi iaitu Zahrin Aris.

Wang jaminan ditetapkan pada jumlah RM8,000 manakala perbicaraan akan bersambung pada 29 dan 30 November serta 13 hingga 15 Disember depan.

Sementara menunggu urusan jaminan selesai, Raja Azmi yang dilihat agak keletihan tertidur di bahu Jalani.

Turut berada di mahkamah ialah anak sulung mereka, Puteri Suraya dan suaminya Mohd Shadan Hashim yang juga pengarah filem. Mereka menunggu di mahkamah seawal jam 7.45 pagi.

Raja Azmi meninggalkan mahkamah pada pukul 10.50 pagi selepas urusan jaminan selesai.

Kes itu bermula selepas seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut.

Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April lalu. Hamzah diwakili Su Manakalan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili LBS Bina Holdings dan Joey diwakili peguam Alan Gomez. Raja Azmi dan Jalani tidak diwakili peguam.

Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang Khamis, semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini berhubung dakwaan menerima mesej ugutan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada isteri Roslin iaitu Norhayati.

Dia yang memakai baju kurung moden merah biru terpaksa bermalam di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah, di sini, sebelum dibawa ke mahkamah.

iklan

iklan

Iklan