Alex Komang Mahu Berlakon Sampai Mati

Diterbitkan: Sabtu, 14 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELAKON terkenal Indonesia, Alex Komang, memberitahu akan terus berlakon sehingga ke akhir nyawanya kerana terlalu cintakan bidang ini.

Alex atau Saifin Nuha, 49, memberitahu biarpun sudah menerima pelbagai anugerah termasuk Pelakon Terbaik Asia, dia masih belum puas untuk berlakon.

"Berlakon itu adalah satu keperluan bagi saya. Saya sudah jadikan berlakon seperti darah daging dan sebahagian dari hidup saya.

"Mungkin juga saya akan berlakon sampai mati atau mungkin dua jam sebelum mati saya masih berlakon," katanya.

Jelas Alex lagi, perjalanan untuk dia menjadi pelakon bukan sesuatu yang mudah. Dia pernah disisihkan keluarga demi ingin mengejar cita-citanya sebagai pelakon.

"Saya pernah mengikutkan kata hati ketika membuat keputusan untuk menceburi bidang ini. Keluarga terutamanya ayah tidak suka saya jadi pelakon. Pada awal dulu mereka sisihkan saya, namun kini semuanya sudah pulih.

"Bagaimanapun sehingga kini ayah saya masih tidak pernah bangga dengan kejayaan yang saya kecapai, padanya, tidak ada apa sumbangan saya yang boleh dibanggakan," ujarnya.

Ketika ditanya apakah yang ingin dicari dalam perjalanannya sebagai pelakon, Alex memberitahu kepuasan dan filem-filem yang mampu memberi kesan kepada penonton.

"Saya lebih memilih kerekter dan watak yang diberikan, jika watak tersebut sekadar penghibur, saya bukan penghibur. Saya lebih suka watak yang mampu memberi yang betul-betul mendorong dan memberi pengajaran kepada khalayak.

"Filem membuktikan saya wujud di muka bumi ini, Sebab itulah sesebuah filem atau karya perlu mempunyai jalan cerita dan berbicara tentang mesej selain mengalakkan penonton melakukan sesuatu seperti filem Laskar Pelangi.

Alex yang bakal keluar dengan telefilem berjudul Kabus pada Hari Raya ini mengakui banyak yang cuba disampaikan melalui drama tersebut.

"Saya cuba sampaikan mesej tentang kesesatan dalam hidup, sesat bukan sahaja ketika kita berada didalam hutan tetapi ia lebih sukar jika sesat dalam hidup.

Telefilem Kabus akan disiarkan di Astro Oasis pada 12 September akan datang pada pukul 2.30 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan