Lotter AF Tak Kekok Bergelar Deejay

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lotter berkhidmat sebagai penyampai Suria FM sejak tiga minggu lalu. - Foto oleh RAYMOND OOI
Lotter berkhidmat sebagai penyampai Suria FM sejak tiga minggu lalu. - Foto oleh RAYMOND OOI

NAMA Lotter AF lebih dikenali dalam industri nyanyian berbanding bidang penyiaran.

Biarpun agak asing dalam bidang tersebut, pemuda berasal dari Membakut, Sabah ini tidak kekok menjadi penyampai Suria FM berpasangan dengan Othoe dalam segmen Suria Pagi Kinabalu yang dipancarkan menerusi frekuensi FM 105.9 untuk pendengar di Sabah.

Pemuda berusia 28 tahun ini menyertai Suria FM sejak tiga minggu lalu dan teruja setelah diberikan tugas baru yang tidak pernah diidamkan.

Walaupun sibuk dengan tugasnya di konti pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi, Lotter berkata dia masih menumpukan kepada bidang muzik.

Ini kerana dia selalu mendapat tawaran menyanyi di mana-mana persembahan ketika hari Sabtu dan Ahad.

Naib juara Akademi Fantasia musim keempat itu akui penguasaan loghat Sabah dengan baik dan sokongan daripada Othoe yang dianggap sebagai sifunya dalam bidang penyiaran radio banyak membantu kelancaran kerjanya.

“Apabila saya bekerja sebagai deejay, secara automatik masa saya terbahagi kepada dua secara tak sengaja," katanya.

Bercerita tentang detik awal pembabitannya dengan Suria FM, seperti rakan selebriti lain iaitu Marsha AF dan Joanna Sue Henly Rampas (Bintang RTM), Lotter turut menjalani sesi uji bakat beberapa bulan lalu.

“Pada mulanya, saya tak percaya kepada diri-sendiri kerana saya tidak tahu bagaimana hendak menjadi deejay.

"Tetapi setelah dipujuk oleh bos Suria FM kerana apa yang saya lakukan ini adalah untuk rakyat Sabah, jadi akhirnya saya terima jua.

“Setakat tiga minggu ini, banyak perkara yang telah saya pelajari dari Othoe seperti bagaimana hendak susun ayat, cara memulakan setiap sesi dan menggunakan ayat-ayat terbaik setiap hari,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lotter juga sedang dalam proses menghasilkan single terbaru selepas popular dengan lagu Disampingmu oleh bandnya, The Divine Masters.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan