Almy Nadia... Apa Dah Jadi?

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERLATARKAN Istana Budaya, pertemuan bersama aktres Almy Nadia Aminuddin Shah diaturkan untuk sebuah sesi fotografi pada Khamis lalu.

Bermula dengan baik dan mengikut perancangan, si manis yang mesra disapa Almy ini tampil serba ringkas dengan hanya mengenakan kemeja-T kuning, berseluar pendek hitam paras lutut dan calitan solekan yang nipis.

Biarpun pertama kali bersua, gadis yang berasal dari Ipoh, Perak ini cukup ramah memecah bicara kami tengah hari itu. Sesi temu bual yang berjalan ketika Almy sedang ditatarias itu dirasakan cukup spontan dan bersahaja, bagai perbualan dua teman di kedai kopi.

Banyak topik yang dibualkan, daripada karier lakonan sehinggalah menjurus kepada kisah peribadi. Pelakon yang terkenal dengan coletah dan gurau sendanya ini begitu asyik berkongsi tentang perkembangan terbarunya.

Namun, dalam pada rancak bercerita, terpamer juga riak-riak murung di wajah gadis ini. Apabila diusik, pantas sahaja Almy membalas, sebenarnya dia gusar dan bimbang mengenangkan perjalanan kariernya.

Terkejut dengan kenyataan itu, kekasih hati kepada aktor popular Fizz Fairuz ini terus diasak supaya berterus-terang sahaja. Pada mulanya, agak berat juga mulut Almy untuk mengaku, namun setelah dipujuk, Almy mengalah akhirnya.

Menurut pelakon yang mula membina nama menerusi filem Dunia Baru The Movie (2008) ini, mungkin pada mata kasar popularitinya masih 'hidup' di persada seni dan namanya masih bermain di bibir dan ingatan masyarakat tetapi fakta indah itu seakan tidak begitu membantu dalam memastikan kelancaran kerjayanya.

"Mungkin nama saya masih bermain di bibir masyarakat dan saya masih terus bernafas dalam industri ini sebagai anak seni tetapi realitinya, periuk nasi saya tidak selancar yang disangkakan. Kebelakangan ini, tawaran lakonan tidak begitu 'meriah' sebagaimana sebelum ini. Bayangkan sepanjang bulan lalu, saya langsung tidak mendapat sebarang tawaran lakonan. Saya juga tak tahu apa sudah jadi.

"Bukan bermakna tiada tawaran langsung cuma hampir setiap tawaran yang masuk sebelum ini pasti akan terbatal atau tertangguh di saat akhir sebelum saya masuk lokasi penggambaran. Jujurnya, saya sendiri pun tidak pasti mengapa perkara ini berlaku. Mungkin ini dugaan yang harus saya tempuhi pada waktu ini," ujarnya sambil mengelamun jauh.

Apabila diperhatikan bahasa tubuh dan pembawaan dirinya yang mesra dan disenangi itu, seakan pelik juga apabila Almy mengeluh tentang kemerosotan tawaran lakonannya itu.

Tidak Bermusuh

Ditanya adakah dia bermusuh dengan sesiapa di dalam industri ini, Almy berkata, sedarinya mana mungkin anak seni sepertinya yang mencari makan di medan ini akan menimbulkan masalah atau ketidakselesaan pada mana-mana pihak kerana itu hanya merugikan dirinya sendiri.

"Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Setahu saya, sejak awal lagi saya memang sentiasa menjaga batas pergaulan ketika bekerja, sama ada bersama kru, penerbit, pengarah ataupun sesama rakan pelakon sekalipun, saya bergaul secara profesional atas nama kerja.

"Jauh sekali untuk menimbulkan masalah disiplin, bermasam muka, bergaduh ataupun bercerita buruk tentang sesiapa pun ketika di lokasi. Saya selalu sematkan jika terlalu rapat dengan mana-mana artis atau produksi hingga melangkaui batas profesionalisme, ia mungkin akan mengundang padah kepada diri sendiri.

"Cukuplah sebelum ini saya dikata itu dan ini. Kalau boleh saya tidak mahu nama dan kerja saya dicemari dengan perkara-perkara negatif yang tidak menguntungkan," katanya.

Tambah Almy, dalam industri ini populariti bukan jaminan untuk terus dihujani tawaran lakonan. Bahkan, dia semakin matang dan belajar bahawa persaingan yang sengit di kalangan aktres tanah air hari ini mewajibkan setiap karyawan itu untuk bersiap sedia dan bekerja keras sepanjang masa.

"Saya tidak menyalahkan persaingan sengit di kalangan pelakon pada hari ini. Ia adalah sesuatu yang sihat dan baik untuk industri. Mungkin silap saya yang alpa atau kurang bersedia untuk menghadapi 'kebingungan' sebelum ini.

"Apa pun, ingin saya uar-uarkan bahawa saya masih 'wujud' dan aktif dalam industri ini dan ingin terus berlakon," katanya yang tidak menyangkal realiti sebenar dunia seni memang menyakitkan.

Melebarkan lagi ruang perbualan kami, Almy berkata, sekalipun tawaran agak merosot kebelakangan ini, drama bersiri lakonannya iaitu Janji Kekasih sedang bersiaran di TV3 pada setiap Jumaat pukul 9 malam, selain drama komedi Tan Tun di Astro Warna (Saluran 132).

Terbaru, dia baru sahaja menamatkan penggambaran untuk sebuah telefilem Hari Raya yang berjudul Arca Cinta, beberapa jam sebelum pertemuan kami berlangsung hari itu.

Telefilem yang dijangka muncul di saluran Astro Prima (Saluran 105) pada Hari Raya kelima nanti turut dibintangi pelakon-pelakon popular seperti Zamarul Hisham, Emelda Rosmila dan Zachery Francis.

Selain itu, wajah Almy juga akan menghiasi sebuah lagi telefilem komedi Raya iaitu Pak Nil Mak Kirim Salam arahan bintang AF3 yang baru berjinak-jinak sebagai pengarah iaitu Mawi.

Sebelum mengakhiri perbualan, Almy sempat ditanya mengenai kekecohan yang tercetus sebelum ini gara-gara keengganannya turut serta dalam aktiviti promosi filem 4 Madu yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Jawab Almy, jika kena pada caranya dan semua kekusutan dapat diselesaikan secara baik, dia bagaimanapun tidak menolak untuk turun padang bagi mempromosikan filem komedi arahan Razak Mohaideen itu.

"Perkara itu saya tidak berani putuskan buat masa ini. Rasanya semua sudah tahu bagaimana kenyataan sebenar yang digembar-gemburkan telah memburukkan nama dan karier saya sebelum ini gara-gara filem itu.

"Mahu atau tidak turut serta mempromosikan filem itu nanti, biarlah masa dan keadaan yang menentukan. Saya tidak dapat ulas lanjut kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan," katanya sambil menguntumkan senyuman.

* Artikel dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan