Pelantikan David Teo & Ahmad Idham Sah

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham Ahmad Nadzri

KUALA LUMPUR: Pelantikan dua penerbit filem David Teo dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah sah mengikut peraturan undang-undang.

Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd Daud berkata mengikut Seksyen 41 Akta Finas, mereka yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas mestilah terdiri daripada kalangan yang terlibat dengan bidang perfileman dan bukan penjawat awam.

Seksyen 34 Akta yang sama pula memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk melantik mana-mana individu yang difikirkan sesuai sebagai ahli perbadanan, katanya di sini Rabu.

Beliau turut menjelaskan Seksyen 12 Akta itu hanya melibatkan pelantikan kakitangan Finas yang dianggap sebagai penjawat awam.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Ahmad Puad Onah baru-baru ini mendakwa pelantikan Ahmad Idham dan David Teo melanggar Akta Finas dengan merujuk kepada Seksyen 12 Akta itu, bahawa ahli, pegawai dan penjawat Perbadanan dan ahli Jawatankuasanya dianggap sebagai penjawat awam.

Ahmad Puad berkata ahli merujuk kepada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Pengerusi Sementara, Jawatankuasa serta Pengerusi Jawatankuasa Finas, bermakna pelantikan David Teo dan Ahmad Idham menjadikan mereka memegang sektor awam dan tertakluk kepada syarat yang termaktub dalam Akta Finas.

PFM BURUK SANGKA

Sementara itu Muhammed yang juga pengerusi Finas dalam kenyataan akhbarnya kepada mStar Online Rabu berkata, tuduhan PFM kononnya terdapat konflik kepentingan sebilangan Ahli Lembaga Pengarah agensi itu adalah sesuatu yang bersifat buruk sangka.

Katanya PFM perlu membuktikan dakwaan mereka itu benar kerana sehingga hari ini pihak kementerian yang bertanggungjawab terhadap Finas mendapati tidak wujud konflik seperti yang didakwa.

Menurutnya akibat kontroversi yang berlaku itu menteri berkenaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menasihati PFM agar lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan apa-apa tuduhan terhadap mana-mana pihak di Finas.

Sebaliknya kata beliau, siapa ahli lembaga pengarah Finas atau siapa yang bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah adalah perkara yang di luar bidang kuasa persatuan itu.

“Bagi saya, yang lebih penting ialah bagaimana untuk meningkatkan mutu filem yang dikeluarkan supaya industri kreatif negara ini lebih maju. Jika ada konflik kepentingan di antara Ahli Perbadanan Finas, maka PFM hendaklah membuktikannya dan tindakan boleh diambil,” ujarnya.

MStar Online difahamkan taklimat mengenai Akta Finas yang diadakan Selasa lalu oleh Mohammed tidak mendapat sambutan apabila persatuan-persatuan filem memboikot majlis itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk M.Daud berkata pihaknya dan semua persatuan yang bergabung di bawah Gafim tidak dapat menghadiri taklimat berkenaan kerana ia diadakan secara tergesa-gesa dan ahli-ahlinya tidak diberitahu lebih awal.

“Gafim perlu membuat persediaan dengan mendapatkan nasihat peguam jika ada perbincangan mengenai Akta Finas sebelum boleh menghadiri satu-satu taklimat berhubung perkara itu,” katanya.

Selain Mohammed sendiri, ahli Lembaga Pengarah Finas turut disertai Datuk Azman Salleh, Datuk Mustapha Maarof, David Teo Chew Huat, Datuk Md Afendi, Datuk Hamdan, Datuk Abdul Rauf Yusoh, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ahmad Suhaimi Endut dan Garuna Murthee a/l Kandiah.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan