Debaran Empat Finalis AQ4

Diterbitkan: Rabu, 4 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Empat finalis yang bakal bersaing di pertandingan akhir Akademi Al-Quran 4 pada 6 Ogos depan. Dari kiri: Muhammad, Tirmizi, Yahya dan Husni. - Foto oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM
Empat finalis yang bakal bersaing di pertandingan akhir Akademi Al-Quran 4 pada 6 Ogos depan. Dari kiri: Muhammad, Tirmizi, Yahya dan Husni. - Foto oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM

EMPAT finalis yang bakal bersaing di pentas akhir program realiti Akademi Al-Quran 4 (AQ4) pada 6 Ogos depan mengakui saingan kuat sesama mereka merupakan cabaran terbesar yang harus dihadapi dalam merebut peluang untuk bergelar Qari.

Keempat-empat anak muda itu ditemui pada majlis sidang media pengumuman pertandingan akhir program terbitan TV9 itu baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada Husni Ali Hassan,25, Muhammad Ahmad Zahid,15, pasangan adik-beradik Ahmad Tirmizi Ali,25, dan Yahya Ali,23.

Sekalipun dianggap sebagai empat yang terbaik daripada 12 peserta pada musim ini, mereka bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran yang tinggi. Sebaliknya, lebih senang untuk mencuba sebaik mungkin pada malam pertandingan akhir itu nanti.

Menurut Husni yang gemarkan sukan sepak takraw, kesemua finalis musim ini dianggap bakal memberi saingan sengit di malam akhir.

Walaupun dia berpengalaman dalam banyak pertandingan tilawah Al-Quran sebelum ini, anak jati Melaka ini sama sekali tidak mengambil mudah keupayaan pesaing-pesaing lain.

"Semua peserta akhir hebat-hebat belaka. Masing-masing ada kekuatan dan kekurangan yang bakal menjadikan saingan sengit pada malam pertandingan akhir nanti," katanya yang banyak kali mendapat tempat ketiga dalam beberapa pertandingan tilawah yang disertainya.

Seorang lagi peserta yang juga bekas rakan sekelas Husni ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir iaitu Tirmizi menyifatkan saingan kuat di kalangan peserta adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.

Baginya, semua finalis mempunyai kelebihan tersendiri dan berpeluang untuk bergelar juara pada musim ini.

"Saya anggap tiga lagi peserta punya kekuatan masing-masing. Jadi, saya tidak berani untuk berasa terlalu selesa dengan persiapan saya.

"Cuma akan cuba sebaik mungkin untuk bersaing pada malam akhir nanti," katanya yang merupakan seorang pengurus masjid di Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya.

Sementara itu, peserta termuda musim ini iaitu Muhammad mengakui gementar untuk bersaing namun tetap bersyukur kerana dapat melangkah ke pertandingan akhir.

Dia yang diundi untuk melakukan persembahan pertama pada malam akhir nanti menganggap tekanan pertandingan adalah lebih rendah berbanding yang lain kerana selepas membuat persembahan, dia tidak perlu runsing lagi apabila mendengar bacaan dan komen peserta yang lain.

"Walaupun saya berdebar tapi saya bersyukur kerana diundi untuk membuat persembahan pertama pada malam akhir nanti. Tekanan apabila menjadi peserta pertama kurang sedikit sebab saya yang pertama buat persembahan dan tidak perlu runsing lagi apabila mendengar bacaan dan komen peserta yang lain," jelas pelajar tingkatan tiga di Sekolah Integrasi Darul Hikmah, Ampang ini.

Bakal dihoskan oleh Mohd Zamri Hj Mohd Zainuldin, Sharifah Khasif dan Khairul Noormaadiah (Aida), malam akhir program realiti 13 episod itu akan diadili oleh Mohd Nazeri Abdullah (qiraat), Radzi Kamrul Hailan (tarannum) dan Asni Mansor (tajwid dan fasohah).

Pertandingan akhir AQ4 akan berlangsung pada Jumaat ini bermula 9 malam hingga 11 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pas masuk boleh didapati di Pos Pengawal Sri Pentas, Bandar Utama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan