Gabungan 'Bunga' Penyeri & Kelainan 'Jejak Rasul 16'

Diterbitkan: Selasa, 3 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Krew segmen srikandi sewaktu pengambaran di Gua Hira'. - Foto koleksi TV3
Krew segmen srikandi sewaktu pengambaran di Gua Hira'. - Foto koleksi TV3

PROGRAM Jejak Rasul musim ke-16 bukan sahaja tampil dengan pengantara baru iaitu Ezzah Aziz Fawzy, Mohd Sidek Majin dan Mohd Fasli Mohd Idris.

Malah ia juga tampil dengan sedikit kelainan melalui paparan ‘Trilogi Suara Kebenaran’ yang terbahagi kepada tiga segmen iaitu kisah-kisah srikandi, Jihad dan Yahudi & Bani Israel merangkumi 10 episod setiap satu.

Program dokumentari sejarah berkonsepkan travelogue itu akan menemui penonton sepanjang bulan puasa tahun ini mulai 11 Ogos, pukul 6 petang, Isnin hingga Ahad di TV3.

Program yang diterbitkan oleh penerbit eksekutif , Zainal Ariffin Ismail itu buat pertama kalinya akan disiarkan di Republik Indonesia di stesen televisyen swasta Indonesia, TPI.

Buat julung kalinya juga, Jejak Rasul 16 membuka ruang kepada kaum wanita sebagai 'bunga' penyeri program yang dibawakan oleh RHB Islamic Bank Berhad itu.

Menariknya, tiga orang wanita iaitu Ezzah sendiri, penerbit dan pengarahnya, Mazlin Nordin serta penyelidik dan wartawan penyiaran, Shadiya Abbas (hos Haiwan Teladan) berpeluang melakukan penggambaran sendiri dengan hanya dibantu oleh seorang krew lelaki, jurukamera Jebat M Rosli.

“Tak pernah lagi dalam sejarah Jejak Rasul, wanita turut serta dalam program ini. Buat pertama kalinya, kami diberikan peluang untuk membuat pengambaran selama 10 episod.

“Semua kerja kami lakukan sendiri termasuk memikul tripod sepanjang melakukan penggambaran selama 21 hari pada April lalu di Syria, Mesir dan Arab Saudi. Walaupun menjalani penggambaran semasa cuaca yang panas, kami tetap bersemangat mengenangkan perjuangan srikandi Islam zaman dahulu,” kata Mazlin semasa majlis pelancaran dan sidang media Jejak Rasul 16 di Sri Pentas, Bandar Utama, Isnin.

Majlis yang dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu turut disiarkan secara langsung melalui program Wanita Hari Ini.

Tambah Mazlin: “Lebih memeritkan semasa kami mendaki Gua Hira’ selama tiga jam bagi menyelami kisah isteri Rasulullah, Siti Khadijah Khuwailid semasa mendaki gua itu untuk menghantar makanan kepada suaminya.

“Saya tak dapat bayangkan betapa kuat dan bersemangatnya wanita yang waktu itu dianggarkan berusia 52 tahun sehingga saya pun terpaksa menggunakan tongkat untuk mendaki gua itu. Tetapi atas semangat mengenangkan perjuangan wanita itu, saya dan krew lain meneruskan perjalanan kami sehingga selesai.

“Selain itu, kami mengalami kesukaram dan mengambil masa juga untuk memikirkan gambaran wanita-wanita itu bagi mengelakkan timbulnya isu lain kerana kita tidak boleh sebarangan untuk menggambarkan tokoh-tokoh wanita Islam ini.”

Sementara itu, Ezzah berkata pembaharuan yang diterimanya itu diharapkan mampu merubah tanggapan tentang wanita yang tergolong dalam kelas kedua masyarakat.

“Tokoh wanita Islam dulu, bukan sahaja banyak membantu lelaki dengan mengorbankan harta benda, malah menjadi tempat rujukan dan meminta nasihat daripada lelaki. Ada juga wanita yang dilantik menjadi datuk bandar pertama dalam Islam semasa zaman Saidina Umar Al-Khattab.

“Saya dan Shadiya melakukan kajian dari buku sejarah Islam, kitab serta temubual dengan pakar-pakar seperti ustazah di dalam dan luar negara. Setelah melalui penggambaran ini, saya rasa tersentuh dengan bagaimana susahnya wanita-wanita ini melalui cabaran dan lebih banyak bersyukur dengan apa yang dilalui sekarang,” ujar Ezzah yang sebelum ini banyak mengelolakan program wanita termasuk Wanita Hari Ini dan Nona.

Dalam rancak berbual, Ezzah sempat menceritakan pengalaman menarik bersama krew srikandi akibat kata-kata yang terpacul dari mulutnya.

“Seperti biasa, kita perlu berhati-hati untuk bercakap ketika berada di sana. Waktu saya dan krew di padang pasir sedang melakukan penggambaran, tiba-tiba seekor ular keluar dari dalam tanah tempat saya berpijak. Sebelum itu, saya ada cakap berhati-hati jika nak buang air di situ kerana bimbang ada ular atau binatang lain,” ceritanya.

Di sebalik pembikinan program itu, dalam masa yang sama Ezzah berasa seronok dapat mempelajari dan menyelami sejarah wanita zaman dahulu dengan harapan apa yang diusahakan dapat disampaikan dalam program itu.

Dalam segmen srikandi, Ezzah akan mengupas perjuangan dakwah tokoh-tokoh seperti Siti Khadijah Khuwailid, Siti Fatimah Az-Zahraa’, Fatimah Al-Khattab dan Siti Aisyah Abu Bakar.

Antara kisah menarik lain ialah pertemuan unik dengan salah seorang ikon tersohor di bumi timur tengah, Permaisuri Loulwah Al Faisal, puteri kepada mendiang Permaisuri Effat Al-Thunayyan yang merupakan pengasas kepada Universiti effat di Jeddah, institusi pengajian tinggi terkenal yang ditubuhkan khas untuk kaum Hawa yang menyediakan platform bebas dan tidak terkongkong sebagai inisiatif untuk menyokong dan menekankan pembangunan minda dan potensi semua pelajar-pelajar wanita Muslim.

Menerusi 10 episod seterusnya, penerbit Muhamad Amin Yusoff dengan bantuan Abdullah Sidek Majin sebagai pengantara segmen jihad akan cuba menjelaskan objektif serta konsep jihad dan gambaran situasi yang membenarkan pertempuran sebagai benteng terakhir untuk memelihara kesucian agama dan nyawa umatnya.

Manakala dalam segmen Yahudi & Bani Israel, penerbit dan pengantara Mohd Fasil Mohd Idris akan mengupas konflik di Palestin, pemahaman terhadap erti istilah Israel, Yahudi dan Zionis menerusi 10 episod seterusnya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan