Dayang Nurfaizah Berpesta Bersama Peminat

Diterbitkan: Selasa, 3 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dayang Nurfaizah menghiburkan peminatnya dari awal hingga akhir persembahan. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF
Dayang Nurfaizah menghiburkan peminatnya dari awal hingga akhir persembahan. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF

KIRA-KIRA 500 peminat Dayang Nurfaizah membanjiri Hard Rock Cafe (HRC), Kuala Lumpur, malam Ahad untuk berparti bersama idola mereka.

Walaupun persembahan bermula agak lewat iaitu pada pukul 11 malam, mereka tetap sabar menantikan kemunculan penyanyi serba boleh ini.

Apabila Dayang tampil di pentas, keadaan menjadi gamat dengan teriakan namanya serta tepukan gemuruh. Kedengaran seorang peminat melaungkan "Kalah lagi Lady Gaga".

Begitulah aura Dayang yang mempesonakan para peminatnya serta pelancong asing yang beristirahat di HRC.

Malah bilangan yang hadir menyaksikan Dayang beraksi semakin bertambah ketika persembahan sedang berlangsung. Hampir setiap ceruk dipenuhi peminatnya sehingga artis popular itu jarang mendapat ruang untuk lebih mendekati para peminatnya.

Dayang membuka tirai persembahannya dengan lagu, Mulanya Di Sini diikuti dengan Part Time Lover. Para penonton bersorak-sorai setiap kali dia menyanyi.

Penyanyi muzik genre R&B tersebut mendedikasikan persembahannya malam itu sebagai tanda penghargaannya kepada para peminatnya.

"Saya berdiri di sini atas minat mendalam saya terhadap muzik. Terima kasih atas sokongan anda semua sepanjang 11 tahun pembabitan saya dalam bidang muzik," katanya kepada para hadirin.

Dayang secara bergurau turut meletakkan "tiga syarat" kepada para peminatnya sebelum dia meneruskan persembahan. Antaranya, "Apabila saya kata nyanyi, setiap orang mesti nyanyi. Apabila saya kata tari, setiap orang mesti menari. Apabila saya kata setuju, setiap orang mesti bersetuju."

Para peminatnya yang tidak mempunyai apa-apa pilihan terpaksa akur dengan tiga syarat tersebut. Ini kerana mereka tidak sabar lagi untuk berpesta bersamanya.

Parti itu turut merupakan sambutan hari jadi Dayang yang ketujuh bersama peminat. Pada malam itu, Dayang julung kali menyanyikan lagu-lagu barunya, Kau Bintangku serta Sempurna Selamanya kepada para hadirin.

Lagu asal Kau Bintangku ialah My Sunshine yang dimelayukan manakala lagu Sempurna Selamanya hanya akan dikeluarkan selepas Hari Raya ini.

Selain hebat melontarkan vokalnya, Dayang bijak merancakkan persembahannya dengan mengajak para hadirin bersama-sama menyanyi dan menari menerusi dendangan lagu medley Pelangi/Sentuhan Listrik, Bukan Diriku dan Life With You.

Ketika lagu Ain't No Sunshine/Wait In Vain, Sempurna selamanya dipersembahkan, Dayang berjaya menggerakkan para peminatnya dari setiap sudut dewan HRC untuk sama-sama berhibur. Tidak kurang yang menjerit-jerit kerana terpukau dengan persembahan memberangsangkannya.

Persembahan Dayang pada malam itu dikira amat berkesan dan lengkap. Lagu Love Will Lead You Back mempamerkan keupayaan Dayang melontarkan vokalnya sehingga para pelancong asing memujinya. "You rock!"

Dia juga mampu mengalunkan lagu What A Wonderful World mengikut versi Dayang yang cukup unik. Dari segi tarian, dia berdansa dengan menarik sekali mengikut rentak muzik medley Sinaran/Semua Jadi Satu serta Seri Dewi Malam/Tiada Kata Secantik Bahasa.

Bukan itu sahaja. Dayang pandai bergurau-senda terutama dalam segmen Jukebox. Para peminatnya diberi peluang untuk meminta Dayang menyanyikan lagu tertentu.

Dayang yang pernah digelar "The Booty Shaking Funky Hot Diva" oleh juri tetap One in a Million, Paul Moss tidak menghampakan mereka dengan membawakan lagu Wonder Girl, I'm A Single Lady, Wakaka dan Puteri Santubong.

Sebelum mengundurkan diri dari pentas, Dayang meletakkan tahap persembahannya ke satu tahap yang lebih tinggi. Ramai terkinja-kinja sambil menghayati dendangan lagu Dua Insan Bercinta/Enter Sandman, Sayang/Dayang Sayang Kamu.

You rock, Dayang!

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan