Mamat Khalid Bengang Karya Kena Ciplak

Diterbitkan: Isnin, 2 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mamat Khalid
Mamat Khalid

SELEPAS Farid Kamil mendakwa beberapa adegan dalam filem arahannya V3: Samseng Jalanan diciplak oleh Ahmad Idham yang mengarah Adnan Sempit, timbul pula isu baru.

Kali ini melibatkan pengarah Afdlin Shauki yang didakwa mencedok idea Mamat Khalid menerusi filem Kunang-Kunang yang baru dalam proses awal untuk mendapatkan dana sebelum memulakan penggambaran.

Ceritanya begini. Mamat Khalid sebelum ini bercadang menghasilkan sebuah filem animasi tersebut tetapi hasrat itu tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan.

Maka idea yang sudah tercetus sejak dua tahun lalu itu terpaksa diperam manakala kertas kerja dan skrip asal mengenai projek filem itu disimpan oleh Mamat menerusi syarikatnya Naga VXS Sdn. Bhd.

Namun entah di mana silapnya, ada dakwaan mengatakan naskhah Mamat itu telah dilarikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab tanpa pengetahuan Mamat lalu diserahkan kepada pihak lain.

Akhirnya pihak ketiga itu tanpa mengetahui karya asal tersebut milik Mamat dikatakan bersetuju menerbitkan filem berkenaan. Afdlin Shauki telah dipilih untuk mengarahkan filem itu.

Mamat yang ditemui Mingguan mStar Khamis lalu terkejut dengan cerita itu kerana dia sendiri tidak tahu rupa-rupanya karya yang disimpan selama ini sudah dikebas orang.

“Walaupun cerita itu dah dua tahun ia tetap karya saya. Jangan main ciplak. Saya ada bukti. Orang yang bawa lari idea itu, saya pesan di sini, kita boleh bincang,” kata Mamat seolah-olah memberi amaran.

Mingguan mStar mahu berlaku adil dengan bertanyakan perkara tersebut kepada Afdlin dan pelakon itu turut terkejut.

Sekarang siapa yang ciplak? Mingguan mStar mendapatkan penjelasan kedua-dua mereka dan andalah yang memberi jawapannya.

“Idea Mamat? Tak tahu pun” – Afdlin Shauki

Afdlin Shauki yang bakal menerajui projek animasi itu sebagai pengarah lakonan suara terkejut dengan dakwaan yang dikemukakan.

Pengarah filem Buli itu termanggu seketika sebelum menjawab soalan. Menurut Afdlin, dia langsung tidak tahu-menahu bahawa filem itu merupakan idea asal Mamat Khalid.

Dia yang didatangi beberapa individu termasuklah sebuah syarikat produksi ternama sebulan lalu telah ditawarkan untuk menerajui projek itu.

“Jika benar filem itu diciplak daripada karya asal Mamat Khalid, saya langsung tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Filem animasi itu pun bukan filem saya. Kira-kira sebulan yang lalu saya telah ditawarkan oleh sebuah syarikat produksi dan beberapa individu lain untuk menerajui projek animasi berkenaan.

“Apabila saya tonton trailer filem itu dan melihat konsep serta sinopsisnya, memang saya tertarik untuk terima tawaran tersebut tanpa mengetahui latar belakang atau asal-usul karya itu,” jelasnya.

Tambah Afdlin, dia yang ditawarkan oleh pihak terbabit untuk mengarahkan aspek lakonan dan penceritaan bagaimanapun masih tidak diberikan lagi skrip lengkap seperti mana yang diminta.

Malah, katanya, filem itu juga dikhabarkan sedang dalam proses permohonan bagi mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ke fasa berikutnya.

“Saya hanya dimaklumkan secara ringkas sahaja tentang projek itu. Bahkan, saya masih belum melihat skrip filem itu dan hanya tahu konsep dan ideanya berdasarkan kepada sinopsis sahaja.

“Setakat ini pun, kata putus masih belum dibuat dan saya masih belum tandatangan apa-apa perjanjian dengan pihak penerbit. Jika benar karya itu milik Mamat Khalid dan ia ‘dilarikan’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mungkin saya perlu tanya pada Mamat sendiri sebelum menerima tawaran itu,” kata pengarah yang sememangnya rapat dengan Mamat Khalid.

“Tiada hitam putih kerana percaya kawan” - Mamat

Berbeza pula reaksi yang dipamerkan oleh pengarah filem Mamat Khalid apabila diajukan persoalan tentang isu karyanya diciplak orang.

Tidak melenting atau terkejut sebagaimana yang dijangkakan, Mamat yang ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru arahannya iaitu Apokalips, Khamis lalu sebaliknya hanya terdiam dan termenung apabila bicara kami bermula.

Akui Mamat, naskhah asal animasi itu adalah cetusan ilhamnya sejak lebih dua tahun lalu. Bagaimanapun, judul dan plot filem itu telah diubahsuai dan diperbaiki demi memenuhi permintaan beberapa pihak untuk mendapatkan dana bagi membiayai projek itu.

“Apabila timbulnya dakwaan bahawa naskhah yang sudah dua tahun terbengkalai ekoran kekangan bajet itu akan diterbitkan dan diarahkan oleh pihak lain, saya tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan?

“Memang filem asal itu idea dan cetusan saya tetapi ia turut melibatkan pihak lain juga untuk aspek animasinya. Ia merupakan projek usaha sama antara Naga VXS (aspek konsep dan pengarahan) dan Digilogic (aspek animasi).

“Keadaan yang berlaku ini seolah-olah memberi gambaran semua yang pernah terlibat dalam projek asal filem itu sebelum ini cuba untuk memperjuangkan karya tersebut sebagai hak masing-masing,” katanya.

Pengarah yang terkenal menerusi filem-filem komedi itu lantas ditanya tidakkah syarikatnya membuat perjanjian bertulis ketika projek usaha sama itu dua tahun lalu bagi melindungi hak milik karya itu?

Sekadar menjawab ringkas, Mamat berkata, hubungan akrab yang terbina antara pihaknya dan Digilogic atas nama persahabatan selama bertahun-tahun itu berlandaskan kepercayaan dan sama sekali tidak memerlukan sebarang perjanjian bertulis.

“Kami tidak perlukan sebarang perjanjian hitam dan putih ketika sama-sama memulakan projek animasi itu. Hubungan akrab yang terjalin atas nama persahabatan selama bertahun-tahun ini tidak pernah buat saya terfikir untuk membuat perjanjian bertulis tentang hak cipta karya itu pun.

“Sahabat yang dipercayai tidak mungkin akan mengkhianati sahabatnya sendiri, apatah lagi apabila kita memulakan sesuatu projek itu bersama-sama,” katanya yang keliru sama ada dia dikhianati atau berpunca daripada kealpaannya sendiri dengan apa yang berlaku.

Tambah Mamat, sebagai manusia yang matang dan bertanggungjawab, apa yang terbaik untuk dilakukan sekarang adalah duduk bersemuka dan berbincang bagi meleraikan kekusutan ini.

“Saya mahu pihak yang bertanggungjawab datang berjumpa saya untuk berbincang secara berhemah dan bertamadun. Saya tidak mahu perkara ini menjadi lebih teruk lagi,” katanya.

* Akhbar Mingguan mStar diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan