Fizz Fairuz Tidak Mahu Terburu-Buru Kahwin Almy

Diterbitkan: Sabtu, 24 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fizz dan Almy bercinta lebih tiga tahun lamanya.
Fizz dan Almy bercinta lebih tiga tahun lamanya.

JIKA dilihat kepada faktor umur, aktor Fizz Fairuz, 30, sudah layak untuk berumah tangga. Apatah lagi dia mengakui sudah cukup wang untuk berkahwin.

Namun ada perkara yang masih belum sempurna yang menghalangnya untuk berkahwin. Pelakon popular menerusi drama bersiri Nur Kasih, Impak Maksima, Kekasihku Seru dan filem Orang Minyak itu mahu mengumpul aset untuk keperluan masa depan bersama bakal surinya, aktres Almy Nadia.

“Saya tak nak terburu-buru untuk berkahwin dengan Almy kerana saya mahu mencapai sasaran iaitu mempunyai kereta dan rumah terlebih dahulu.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai kereta sendiri dan sedang dalam proses membeli sebuah rumah,” katanya yang kini tinggal bersama keluarganya di Damansara.

Fizz dan Almy telah menyulam cinta lebih tiga tahun lamanya dan kini lelaki itu sedang menunggu masa yang sesuai untuk menghantar rombongan meminang wanita berusia 23 tahun itu.

Bercerita tentang minatnya, pemilik nama Mohd Fairus Zainal Abidin ini tidak menafikan dia memang menggemari kanak-kanak.

Ciri-ciri kebapaannya terserlah sewaktu pengambaran filem Nur Kasih The Movie di Kampung Gulang-Gulang, Tanjung Karang, Khamis lalu.

Fizz kelihatan rapat dan mesra dengan dua pelakon cilik iaitu Mohd Ilyas Suhaimi, 9, dan Mia Sara Nasuha Mohd Ridhwan, 4, yang turut berlakon dalam filem itu.

“Saya suka budak-budak malah Ilyas dan Mia panggil saya ayah. Tetapi saya perlu bersabar dahulu (mempunyai anak sendiri) sebab banyak perkara lain yang perlu difikirkan. Insya-Allah, kalau ada jodoh tak ke mana,” tuturnya.

Setakat ini, Fizz telah melakonkan kira-kira tujuh buah filem termasuk Nur Kasih The Movie. Selepas ini, dia ada menerima tawaran untuk berlakon dua buah filem yang masih dirahsiakan buat sementara waktu.

“Saya dijangka akan sibuk dengan kerja sehingga bulan Mei tahun depan,” ujarnya.

Fizz juga sedang menantikan jadual untuk penggambaran filem Bravo 5.

Dia melakonkan watak Leftenan Hassan dalam filem itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan