Penggiat Seni Sokong Ahmad Idham KP Finas

Diterbitkan: Jumaat, 23 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Desas-desus pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri (gambar) bakal dilantik menerajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mendapat reaksi positif pihak yang menyokong kebolehan dan kelayakan beliau, walaupun ia dipersoalkan beberapa pihak lain.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia Jurey Latiff Mohd Rosli berkata sekiranya dilantik sebagai Ketua Pengarah, Ahmad Idham bakal memberi suntikan baru terhadap industri perfileman.

"Dia muda dan ada banyak idea bernas. Pengalaman dan kebolehan yang dia ada boleh digunakan untuk memimpin industri. Bagi saya, ini bukan semata-mata soal Ahmad Idham. Sesiapapun yang ingin dilantik, haruslah layak," katanya kepada Bernama hari ini.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia Harun Salim Bachik pula berkata Ahmad Idham mempunyai kriteria yang baik jika diangkat menerajui Finas.

"Secara peribadi, saya rasa dia layak. Ini berdasarkan pengalaman dan kelayakan yang dia ada. Pencapaian dan kejayaan yang dia perolehi dalam masa singkat, membuktikan dia bekerja keras dan gigih untuk capai sesuatu," katanya. Ahmad Idham dikatakan bakal menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim sebagai Ketua Pengarah selepas kontrak dua penggal (empat tahun) beliau tamat akhir bulan ini.

Ura-ura itu timbul setelah beliau dan seorang lagi penggiat filem, David Teoh dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Finas, yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pihak.

Ia termasuk Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang baru-baru ini mengadakan sidang akhbar membantah pelantikan tersebut dengan alasan Ahmad Idham dan David masih aktif mengarah serta menerbitkan filem, dan ini boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada rakan seperjuangan mereka.

Bagaimanapun, Jurey dan Harun sependapat bahawa Ahmad Idham perlu meninggalkan kerjaya sebagai pengarah dan penerbit filem, jika benar-benar mahu menerajui agensi kerajaan itu, supaya tidak menimbulkan koflik di kemudian hari.

Kata Jurey, Ahmad Idham perlu fokus dengan tugas barunya, yang tertakluk kepada banyak akta dan kepentingan undang-undang, manakala Harun berpendapat perjalanan seni Ahmad Idham masih panjang. "Saya tak rasa dia sudah bersedia nak tinggalkan semua itu. Melainkan dia bersedia berjuang untuk industri, mungkin dia akan lakukan," kata Harun.

Sementara itu, dua nama besar dan berpengalaman luas dalam industri perfileman pula berpendapat, sekiranya itulah keputusan yang dibuat oleh kerajaan, semua pihak harus menerima dengan hati terbuka.

Mantan Pengerusi Finas Tan Sri Jins Shamsuddin berkata urusan pelantikan Ketua Pengarah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Justeru, katanya, Finas perlu berjumpa dan mendapatkan kelulusan daripada menteri berkenaan sebelum melantik seseorang individu sebagai Ketua Pengarah.

Beliau mencadangkan PFM mahupun 11 persatuan lain di bawah Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bertemu dengan Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi membincangkan perkara itu dan mendapatkan penjelasan. "Lembaga pengarah juga perlu mengikut Akta 244 Finas dalam sebarang urusan lantikan. Bagi saya, ini soal dalaman...(jadi) lebih baik kita bawa berbincang daripada dibawa ke akhbar. Jumpa menteri, kalau ada pandangan lain, suarakan," katanya ketika dihubungi.

Mantan Presiden Seniman Datuk Mustapha Maarof pula berkata kementerian semestinya mempunyai persepsi tersendiri terhadap pelantikan tersebut, dan apa yang dibuat adalah untuk kebaikan industri.

"Itu adalah kuasa Yang Berhormat Menteri, mereka juga mewakili industri," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata tindakan yang lebih matang sepatutnya diambil oleh barisan kepimpinan PFM untuk meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu dalaman industri.

"Menghebahkan pada surat khabar tidak menguntungkan mana-mana pihak, ketua perlu ada kredibiliti dan bertindak lebih matang," katanya. Mengenai pelantikan David sebagai ahli lembaga pengarah Finas pula, Jurey berkata masalah timbul apabila penggiat filem itu merupakan pengamal industri serta menghasilkan kerja-kerja yang membawa pulangan besar.

"Jadi, bila jadi pentadbir atau terlibat dalam panel yang membuat keputusan, ini yang menyebabkan berlakunya percakaran. Punca sebenarnya (lain) saya tidak pasti kenapa ada rasa tidak puas hati."

"Memang David tidak pinjam (isu dana)...tapi orang lain perlu pinjam, dan untuk orang lain jadi macam dia, memang perlukan duit yang banyak. So, bila dia ada dalam panel yang buat keputusan, walaupun keputusan adalah secara kolektif, ini yang sebabkan timbul konflik," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan