Tidak Tangguh, 2 Alam Tayang 18 November

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Rozmey. - Foto The Star oleh LOW LAY PHON
Dr Rozmey. - Foto The Star oleh LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Penerbit dR Movie Production Sdn. Bhd., Datuk Dr. Che Rozmey Che Din, mengesahkan sudah mendapat surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk membenarkan filem pertamanya 2 Alam ditayangkan kepada umum pada 18 November akan datang.

Sehubungan itu beliau menolak tuduhan kononnya sengaja menimbulkan kontroversi sehingga membuatkan orang ramai keliru sama ada benar atau tidak filem berkenaan akan ditayangkan pada tarikh tersebut.

“Saya sudah mendapat salinan surat pada 5 Julai lalu dari Finas yang mengesahkan filem saya akan ditayangkan pada 18 November akan datang. Keputusan ini adalah muktamad dan tiada penangguhan lagi,” katanya sambil melihat salinan surat berkenaan kepada media dalam satu pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di sini, Selasa.

Sebelum ini filem 2 Alam menghadapi masalah kerana sudah beberapa kali terpaksa ditangguhkan untuk penayangan kerana tidak mendapat kelulusan Skim Wajib Tayang.

Ia sepatutnya ditayangkan pada 27 Mei lalu tetapi ditangguhkan kepada 30 September dan akhirnya diluluskan pada 18 November depan.

Kata Dr. Rozmey, penangguhan itu telah menukar “mood” orang ramai untuk melihat keterujaan filem tersebut kerana langkah promosi yang dilakukannya selama ini adalah sesuatu yang luar biasa.

Menurutnya, pada hari ini ramai penonton tidak sabar menunggu filem itu dan mereka agak kecewa kerana sudah beberapa kali filem itu tertangguh.

“Di mana-mana pergi pun orang tak sabar nak tonton filem 2 Alam kerana saya berjaya mempengaruhi perasaan mereka bagaimana hebatnya ini,” katanya.

Beliau yang selama ini menyasarkan dapat mengutipRM12 juta hasil tayangan filem itu menambah lagi sasaran kepada RM40 juta apabila ia ditayangkan di 500 buah skrin di pawagam-pawagam seluruh negara.

Jumlah itu bersesuaian dengan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan filem tersebut selain persetujuan pawagam untuk menayangkannya serentak pada tarikh yang diberikan.

Kata Dr. Rozmey, dalam persetujuan itu semua pawagam terpilih akan menghentikan tayangan filem-filem barat untuk memberi laluan kepada 2 Alam.

Ditanya adakah dia telah membayar sejumlah wang kepada pawagam untuk membolehkan hasratnya mendapat peluang itu, beliau menolak tuduhan tersebut.

Sebaliknya beliau berkata tidak akan mendapat apa-apa faedah jika dia membayar panggung terlebih dahulu sekiranya mahu filemnya ditayangkan.

“Pemilik panggung nak untung. Kalau saya bagi wang tetapi dari segi kutipan mereka tak dapat untung apa-apa, ia tak guna juga. Sebaliknya mereka bersetuju nak tayang filem saya selepas melihat kehebatan 2 Alam, “ katanya.

Mengenai kenyataan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah yang menegur Dr. Rozmey kerana mempertikaikan peranan Skim Wajib Tayang, kata beliau Ahmad Puad tidak tahu strateginya.

“Dia (Ahmad Puad) tak tahu apa-apa. Dia hanya pandai cakap saja tapi saya orang berniaga, saya tahu apa yang saya buat,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan