Dua Persatuan Tegur Saiful Apek

Diterbitkan: Selasa, 20 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pelawak, Saiful Apek ataupun Saifulazam Mohammad Yusoff ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 16 Jun 2010 selepas ditahan positif dadah. - Foto UTUSAN
Pelawak, Saiful Apek ataupun Saifulazam Mohammad Yusoff ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 16 Jun 2010 selepas ditahan positif dadah. - Foto UTUSAN

"Seniman juga terima aduan buruk mengenai artis" - Yusof Kelana

PELAWAK Saiful Apek,41, dalam rancangan Melodi pada 11 Julai lalu mempersoalkan tindakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang mendakwa terdapat 30 artis sedang dipantau kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

Apek dalam rancangan itu berkata kenapa Seniman terlalu sibuk mengenai perkara itu sedangkan banyak isu lain yang seharusnya dibangkitkan.

Berikutan itu Apek mengambil pendekatan untuk membongkar perbuatan pengarah dan penerbit drama televisyen yang selama ini menindas pelakon dengan memberi mereka bayaran “ciput”, menipu, melakukan diskriminasi dan tidak membayar pelakon.

“Itulah kebenaran yang akan saya tegakkan. Selama ini orang buat salah pada saya, saya diam. Saya akan bongkar segala-galanya. Pihak berkenaan diminta bersedia,” katanya dalam rancangan itu.

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung Seniman, Yusof Kelana secara menyindir mengalu-alukan tindakan Apek untuk membongkar masalah tersebut sekiranya dia benar-benar ditipu.

Bagaimanapun kata Yusof, itu tidak bermakna Seniman berdiam diri sebaliknya mereka akan bertindak sekiranya mendapat aduan secara bertulis daripada ahli-ahli-ahli.

“Kita tak boleh cakap kosong. Kalau cakap kosong kami tak ambil kira,” katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad lalu.

Jelas Yusof lagi, jika Apek mendakwa dia ditindas oleh mana-mana produser, persatuan itu juga turut menerima aduan daripada syarikat produksi mengenai masalah yang dilakukan oleh pelakon termasuklah datang lambat ke lokasi serta tidak berdisiplin.

Mengenai kenyataan Apek yang menganggap dakwaan Seniman berhubung penglibatan beberapa artis dengan dadah diuar-uarkan selepas insiden dia ditahan di dalam lokap pada 12 Jun lalu kerana dipercayai terlibat dengan dadah, Yusof berkata ia tiada kena mengena dengan pelawak itu.

“Sebelum dia kena tangkap lagi kami sudah bercakap mengenai artis-artis yang sedang dipantau kerana terlibat dengan dadah.

Apa yang dilakukan persatuan itu kata Yusof hendaklah dilihat dalam konteks yang positif kerana matlamat mereka untuk membawa kesejahteraan dalam dunia hiburan.

Apek patut diam diri – Jurey Latif

Sementara itu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli apabila ditanya benarkah terdapat produser yang menindas pelakon seperti didakwa Apek dalam rancangan Melodi itu, Jurey tidak menafikan perkara tersebut.

Bagaimanapun kata Jurey setiap artis di negara ini haruslah bijak apabila mereka menerima tawaran berlakon sekiranya tidak mahu ditindas ataupun ditipu.

Katanya, setiap penerbit filem akan memberi kontrak yang harus dibaca oleh semua artis sebelum mereka menandatanganinya.

Jika artis memahami kontrak, tidak timbul soal mereka ditipu, tidak mendapat bayaran dan segala macam masalah lain.

“Saya tak nafikan ada produser yang tidak berlaku adil kepada pelakon. Mereka (pelakon) juga harus tahu peranan mereka sebelum menerima satu-satu tawaran. Bacalah kontrak tu dulu. Kalau tak puas hati, jangan ambil tawaran itu,” jelasnya.

Bagaimanapun Jurey kurang bersetuju dengan tindakan Apek yang membuat kenyataan tersebut kerana ia dilihat seolah-olah Apek cuba mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap berita dia ditahan polis.

Ujarnya, ketika namanya agak tercalar pada hari ini, Apek sepatutnya mengambil pendekatan berdiam diri, tidak banyak memberi komen sebaliknya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kebajikan yang dijanjikannya selepas keluar dari lokap polis.

Padanya jika benar Apek ditindas oleh produser, jalan terbaik yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan menyaman mereka dan bukan membuat kenyataan yang boleh menambahkan lagi masalah.

“Janganlah kita bercakap macam orang berborak di kedai kopi. Kalau tak puas hati, Apek boleh tulis surat kepada kami, dan PTVM boleh meminta mana-mana stesen televisyen agar tidak menerima apa juga projek di bawah mana-mana syarikat penerbitan yang bermasalah,” katanya.

Jurey tidak menafikan tindakan Apek itu baik kerana kejayaan sesebuah drama atau filem terletak kepada kehebatan seseorang artis seperti Apek sendiri.

Tetapi tindakannya mencari salah orang lain seperti cuba untuk mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap kesnya adalah tidak wajar.

“Kalau saya jadi Apek, saya akan mengambil tindakan mengikut peraturannya dan bukan bercakap untuk membongkar satu-satu hal yang kita tidak puas hati. Saya takut nanti kalau tersalah cakap, orang berkenaan yang kena saman dengan penerbit,” ujarnya.

* Akhbar Mingguan mStar diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan