Leya Gembira Melihat Si Kembar Membesar Depan Mata

Diterbitkan: Khamis, 8 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wajah terbaru Aza Ameena Muhd Ashraf (kiri) dan Asha Ameena Muhd Ashraf yang berusia setahun pada 26 Jun lalu. - Foto ihsan LEYA
Wajah terbaru Aza Ameena Muhd Ashraf (kiri) dan Asha Ameena Muhd Ashraf yang berusia setahun pada 26 Jun lalu. - Foto ihsan LEYA

PENYAMPAI radio Hot FM, Leeya akui puas dan gembira melihat kedua-dua puteri kembarnya Aza Ameena Muhd Ashraf dan Asha Ameena Muhd Ashraf membesar di depan mata.

Melayan kerenah kembar yang mempunyai berlainan karakter itu kadangkala menyebabkan rasa penat tetapi berbaloi.

Jika tiada aral, Leya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid memasang angan untuk menyekolahkan anak-anak itu di sekolah agama.

“Perangai Asha lebih relaks dan tak banyak ‘drama’ berbanding Aza yang suka buat ‘drama’. Kedua-duanya sudah pandai merangkak, berdiri dan panjat tangga. Kalau orang hulur tangan, mereka pandai bersalam dan cium tangan.

“Kalau boleh, saya dan suami (Muhammad Ashraf Aasimudin) hendak menghantar anak-anak kami di Integrated Islamic School apabila mereka besar nanti. Di situ mereka akan diajar bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Arab.

“Saya suka anak-anak lebih banyak pengetahuan berbanding saya. Mulai dari sekarang, saya mula menyimpan wang untuk mereka dengan membuka akaun Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020),” ,” cerita Leya kepada mStar Online.

Pada 26 Jun lalu, genaplah setahun usia kembar itu. Sempena majlis itu, Leya dan Ashraf melakukan aqiqah dengan menyembelih dua ekor kambing.

Majlis berkenaan di adakan di rumah mertua Leya di Sungai Buloh.

Berbicara mengenai perancangan untuk anak-anaknya, Leya enggan terlalu jauh memikirkan soal itu kerana bimbang segala yang dirancang itu tidak menjadi.

Leya berkata dia juga selesa dengan kerjanya sebagai penyampai radio Hot FM sekaligus belum merancang untuk menyertai kerjaya lain seperti terlibat dalam bidang perniagaan seperti yang dilakukan oleh sesetengah wanita.

“Suami saya memang ada cakap nak buat bisnes tetapi belum tahu lagi bisnes apa. Kami juga tidak suka terlalu tergesa-gesa membuat keputusan dan merancang lebih-lebih.

“Kalau ada pun, kami membuat perancangan untuk dua hingga tiga tahun ini dan bukannya memikirkan sehingga 10 tahun akan datang.

“Kami tidak mahu terlalu sibuk berfikir sehingga terlupa untuk menikmati kehidupan bersama-sama. Jadi, lebih baik kita buat satu per satu,” ujar Leya yang tinggal bersama-sama orang tuanya di Bandar Sri Damansara.

Ini kerana mereka sedang menunggu rumah baru di Sungai Buloh siap diubahsuai. Jika Leya keluar bekerja, ibu bapanya iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin al-Yahya atau akan menjaga anak kembarnya itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan