Karim Serahkan Koleksi Karya Habsah Hassan - Berita Hiburan | mStar

Karim Serahkan Koleksi Karya Habsah Hassan

Diterbitkan: Jumaat, 2 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Karim (tengah) bersama isterinya, Siti Hawa (kiri) menunjukkan koleksi lagu kepada komposer terkenal, Habshah Hassan
Karim (tengah) bersama isterinya, Siti Hawa (kiri) menunjukkan koleksi lagu kepada komposer terkenal, Habshah Hassan

BEKAS wartawan Berita Harian, Karim Sulaiman,49, berjaya mengumpul lebih 900 koleksi lirik serta 130 cakera padat yang mengandungi karya milik komposer terkenal Habsah Hassan.

Karim yang pernah memenangi Anugerah Kajai, sebuah anugerah tertinggi kewartawanan itu menyerahkan koleksinya kepada Habsah dalam satu majlis yang diadakan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam.

Karim berkata, selama ini dia telah mengumpul lirik ilham Habsah Hassan dari tahun 1976 sehingga 2010, melalui kaset dan bahan-bahan lain.

"Apa yang menggerakkan hati saya untuk mengumpulnya kerana saya mempunyai hubungan baik dengan Kak Chah. Dia juga terkenal sebagai produser yang baik.

"Saya berharap lirik-lirik itu dapat disimpan di Arkib Negara untuk rujukan orang ramai kelak," katanya.

Karim mula mengenali Habsah pada tahun 1985 ketika bekerja sebagai wartawan di Berita Harian.

Karim turut berterima kasih kepada isterinya, Siti Hawa Mohd Arief yang telah banyak membantunya mengumpul lagu Habshah.

Sementara itu, Habsah memberitahu, dia cukup mengagumi koleksi lagunya yang dikumpulkan Karim.

"Hasil kerjanya begitu teliti kerana setiap lagu disusun mengikut syarikat rakaman, pencipta lagu dan tahun diterbitkan.

"Inilah kali pertama saya melihat hasil kerjanya dan saya begitu menghargai kesungguhannya," ujar Habsah.

Karim menghidap sejenis penyakit kulit dikenali Scleromyxoedema sejak dua tahun lalu yang menyebabkan dia terpaksa menamatkan tugasnya sebagai wartawan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan