Samarinda: TV3 Suntik Elemen Baru Elak Klise

Diterbitkan: Khamis, 1 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Remy ( Fahrin Ahmad) banyak membantu Laila Asyikin ( Nur Fathia) selepas Mikhail koma.
Remy ( Fahrin Ahmad) banyak membantu Laila Asyikin ( Nur Fathia) selepas Mikhail koma.

SEGALANYA hanyalah mimpi indah yang membuaikan. Tidak disangka sama sekali kebahagiaan yang dikecapi hanyalah keasyikan yang memukau sehingga empunya diri tidak sedar bahawa dirinya telah dikhianati oleh suami tercinta.

Kini, dia perlu bangkit dan berjuang untuk mempertahankan haknya walaupun perjuangan itu getir!

Begitulah sedikit bingkisan kisah siri drama terbaru di slot Samarinda terbitan MIG Production berjudul Laila Asyikin yang memulakan siarannya pada hari ini setiap hari Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam di TV3.

Masih memaparkan drama berat tentang pergolakan korporat, konflik keluarga di kalangan ahli perniagaan dan juga kisah cinta, Laila Asyikin yang mempunyai 16 episod, diarahkan oleh Heykal Hanifah dan penghasilan skrip oleh Zarihah Hassan.

Siri ini mengetengahkan bakat baru yang semakin menonjol, Nur Fathia Abdul Latiff sebagai watak utama iaitu Laila Asyikin serta dibantu oleh pelakon popular tanahair seperti Fahrin Ahmad, Irfan Roslan, Hamidah Wahab, Fadhil Dani, Hisham Ahmad Tajudin, Zain Ruffedge, Diana Amir, Nurzul Suphian, Adeline Anthony Tsen dan ramai lagi.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar: “Slot Samarinda kerap memaparkan kisah pergolakan hidup di keluarga korporat. Jalan cerita drama yang berat dan mengundang emosi berjaya menjadi faktor utama menyumbang kepada populariti slot drama tersebut.

"Terbaru, Laila Asyikin yang sarat dengan mesej-mesej yang boleh dijadikan pengajaran mengingati kita bahawa perlu sentiasa bersiap sedia dengan ilmu dan jangan sesekali melepas tangan dalam tanggungjawab masing-masing.

“TV3 sentiasa menyuntik elemen baru dalam persembahan program-program agar tidak terlalu klise. Selama 26 tahun bersiaran, sokongan padu daripada jutaan penonton setia amatlah bermakna buat kami dan menjadi sumber inspirasi stesen untuk memberikan hanya yang terbaik di kaca televisyen."

Laila Asyikin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi tetapi memilih untuk tidak bekerja setelah berkahwin dengan Mikhail lakonan Irfan Roslan.

Namun dia tetap mengambil tahu tentang urusan syarikat peninggalan arwah ayahnya, Datuk Shamsudin iaitu United Holding Berhad. Mikhail pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat atas wasiat arwah.

Mikhail seorang yang gigih, penyayang dan bijak dalam urusan perniagaan, United Holdings telah berkembang maju di bawah pentadbirannya.

Perkahwinan Laila Asyikin dan Mikhail kelihatan bahagia dengan kelahiran dua cahaya mata iaitu Laila Huda dan Laila Afifah. Namun, keharmonian kehidupan Laila Asyikin dan anak-anak tergugat serta berkecai selepas Mikhail terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Lebih memeranjatkan apabila Sarah (Diana Amir) turut berada dalam kereta tersebut yang telah membongkarkan rahsia Mikhail. Sarah telah meninggal dunia manakala Mikhail pula mengalami kecederaan dan koma selama tiga bulan.

Tanpa pengetahuan Laila Asyikin, Mikhail telah mengahwini Sarah kerana bersimpati dengan kehidupannya yang miskin dan mereka juga mempunyai seorang anak lelaki, Irfan yang baru berusia tiga bulan. Enggan berdiam diri dan menyerah kalah, Laila Asyikin telah mengambil tindakan segera.

Dia telah mendapatkan hak penjagaan Irfan daripada keluarga Sarah. Dia juga mengatur strategi untuk menyingkirkan sesiapa yang mahu menjatuhkan syarikatnya dengan sokongan sepenuhnya daripada pembantu khas Mikhail iaitu Remy (Fahrin Ahmad).

Kebijaksanaan dan ketabahan Laila Asyikin telah menyebabkan Remy dalam diam menyimpan perasaan kepadanya.

Selepas Mikhail sedar daripada koma, adakah dia akan dimaafkan oleh Laila Asyikin? Berjayakah Laila Asyikin merungkai kemelut dalam rumahtangga dan juga syarikatnya? Adakah hubungan Remy dan Laila Asyikin akan bertukar menjadi intim?

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan