Kisah Bangunan AIA Ditawan Wajib Ditonton

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon, tenaga produksi dan wakil Astro Prima dan Astro Citra yang terlibat dalam penerbitan dokumentari dan drama terbaru kempen Suatu Ketika ini.
Barisan pelakon, tenaga produksi dan wakil Astro Prima dan Astro Citra yang terlibat dalam penerbitan dokumentari dan drama terbaru kempen Suatu Ketika ini.

MUNGKIN ada persepsi yang menganggap masyarakat kita tidak gemar menonton program berbentuk dokumentari adalah salah dan tidak relevan lagi.

Buktinya, usaha menerbitkan program berbentuk dokumentari menerusi kempen Suatu Ketika jelas mendapat sambutan memberangsangkan daripada para penonton sejak ia dilancarkan pada Mei 2009.

Ekoran sambutan yang semakin baik dan menggalakkan itu, kempen Suatu Ketika yang mengimbau kisah tragis apabila bangunan AIA ditawan pada tahun 1975 itu diteruskan dengan siri dokumentari terbaru yang bertajuk 1975: Serangan Tentera Merah.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani yang ditemui pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini, respons baik daripada penonton terhadap kempen itu merangsang pihaknya untuk menerbitkan siri itu.

"Apabila bercakap tentang program dokumentari biasanya reaksi penonton kita terhadap program sebegini tidak begitu memberangsangkan. Namun, kami terkejut dan tidak sangka kerana penerbitan program dokumentari menerusi kempen yang dibuat mendapat respons positif dan menggalakkan.

"Berdasarkan jumlah penonton, peratusan yang menyaksikan program ini berada dalam julat antara 25 hingga 35 peratus. Ia sesuatu yang baik untuk sebuah program berbentuk dokumentari yang disiarkan pada petang Ahad," katanya.

Tambah Nizam, faktor tarikan penonton terhadap program dokumentari itu turut bergantung kepada pemilihan topik yang dipaparkan.

Setakat ini, peratusan penonton program ini cenderung kepada topik berbentuk biografi seperti kisah personaliti Mokhtar Dahari, Sybil, Botak Chin dan Mahsuri.

"Berdasarkan tinjauan dan rating, penonton, mereka akan tertarik untuk menonton siri dokumentari berdasarkan topik yang diketengahkan.

"Untuk kali ini, kami ketengahkan pula tragedi serangan Japanese Red Army di ibu negara pada tahun 1975 yang melakarkan sejarah dan memori tersendiri tentang peristiwa berdarah itu," katanya.

Mengulas lanjut tentang penerbitan 1975: Serangan Tentera Merah, Nizam berkata, pihak penerbit turut menjalankan kajian yang mendalam termasuk sesi temuramah bersama mangsa tawanan demi memastikan fakta sejarah dan kronologi kejadian serangan tentera Jepun yang dipaparkan adalah tepat, selain menarik perhatian penonton.

"Dokumentari ini telah digarap begitu teliti bagi mendapatkan fakta-fakta yang tepat mengenai kronologi kejadian itu. Malah, ia juga dilengkapi dengan sesi temu ramah bersama tawanan yang terlibat iaitu Professor Dr. Mansor Jusoh dan seorang wanita warga Sweden, Ula Odqvist.

"Lebih menarik, ia turut dimuatkan dengan sedutan rakaman babak sebenar kejadian, di mana ia jarang dipersembahkan dalam mana-mana penerbitan dokumentari. Kami yakin siaran dokumentari ini dapat menarik perhatian ramai selain boleh dijadikan bahan rujukan di masa hadapan," katanya.

Dokumentari ini dimulakan dengan menyusuri kronologi kejadian serangan ke atas bangunan AIA di Kuala Lumpur yang berlaku pada pukul 10.45 pagi, 4 Ogos 1975.

Lima orang anggota kumpulan radikal Japanese Red Army telah menahan lebih daripada 50 orang tebusan di dalam bangunan itu yang menempatkan beberapa buah kedutaan termasuk kedutaan Jepun dan Amerika Syarikat.

Turut dipaparkan persoalan yang berlaku sebelum serangan dan proses rundingan yang membawa kepada pembebasan kesemua 53 orang tawanan.

Dokumentari Suatu Ketika...1975: Serangan Tentera Merah yang menelan kos produksi sebanyak RM100,000 itu akan disiarkan pada 4 Julai ini, pukul 4.30 petang menerusi saluran Astro Prima (saluran 105).

Bagaimanapun untuk membolehkan penonton memahami dengan lebih jelas kejadian itu, drama bersiri turut diterbitkan berjudul Suatu Ketika...Soldadu Merah.

Ia akan memulakan siaran pada hari yang sama pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra (Saluran 311).

Drama lapan episod itu dilakonkan Buzen, Yusmal Ghazali, Zack Taipan, Azhar Sulaiman dan Shaharudin Thamby.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan