"Itu Fitnah Untuk Jatuhkan Saya" - Rosyam

Diterbitkan: Khamis, 24 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rosyam Nor tenang menjawab soalan pemberita berhubung insiden dituduh menipu pelanggan melalui pelaburan jualan langsung.
Rosyam Nor tenang menjawab soalan pemberita berhubung insiden dituduh menipu pelanggan melalui pelaburan jualan langsung.

PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor yang dituduh menipu pelanggan dalam perniagaan jualan langsung (MLM) hari ini tampil menjelaskan tuduhan tersebut datangnya daripada individu yang berniat jahat dan ia merupakan satu fitnah.

Kata Rosyam, dia benar-benar terkejut dan terlalu kecewa apabila timbul dakwaan itu yang sedikit sebanyak telah menjatuhkan reputasinya sebagai seorang pelakon yang mempunyai ramai peminat.

“Saya amat kecewa dengan tuduhan itu. Saya ingin jelaskan di sini, saya tidak menipu. Itu semua fitnah,” katanya kepada pemberita di Hotel One Utama di sini hari ini.

Rosyam membuat sidang media tersebut untuk menjelaskan kedudukan sebenar selepas dia dikatakan mengaburi mata pelanggan melalui syarikatnya Rosyam Nor Group (RNG).

Ahad lalu sebuah akhbar mingguan menyiarkan keluhan seorang pelabur perniagaan yang mendakwa Rosyam telah menipunya dengan memberi janji-janji palsu.

Pengirim e-mel berkenaan mendakwa tidak mendapat pulangan berbentuk wang tunai selepas membuat pelaburan melalui syarikat milik Rosyam sedangkan mengikut perjanjian, keuntungan akan diperoleh di antara dua minggu sehingga sebulan.

Malangnya selepas dua bulan, individu tersebut mendakwa tidak mendapat apa-apa pulangan dan akhirnya dia merasakan telah tertipu.

Menurut Rosyam, syarikatnya hanya bertindak mencari ahli dan membekalkannya kepada Power Impian Sdn. Bhd. iaitu syarikat jualan langsung yang berlesen milik jenama minuman kecergasan terkenal Power Root.

Menerusi pelaburan sebanyak RM1,160 setiap ahli akan menerima tiga produk kesihatan dan mereka perlulah mencari ahli-ahli lain sebanyak mungkin sekiranya mahu mendapat pulangan yang lumayan.

Ditanya adakah dia pernah berjanji memberi bonus kepada pelanggan selepas dua minggu melabur, kata pelakon itu orang ramai sebenarnya salah faham mengenai kaedah yang diperkenalkan.

Ujarnya, pihak Power Impian hanya akan membayar bonus dalam tempoh tersebut jika pelanggan berjaya mencari ahli masing-masing.

“Sesetengahnya tak faham. Mereka ingat bila masuk jadi ahli di bawah RNG, mereka tak payah cari ahli. Mereka mahu duduk saja untuk dapat duit. Mana boleh macam tu? Kalau kita nak banyak duit kita kena kerja kuat dengan mencari ahli di bawah kita,” katanya.

Tambah Rosyam, dia mengesyaki ada individu tertentu yang iri hati melihat kejayaan syarikatnya yang pernah meraih pendapatan sehingga RM461,000 sehari dan cuba melakukan sabotaj dengan menyebarkan berita tidak benar untuk memburuk-burukkannya.

Sedangkan kata Rosyam artis-artis lain juga turut menyertai perniagaan yang sama tetapi mereka tidak “diserang” sebegitu rupa sebaliknya dia yang menjadi mangsa.

Rosyam juga berkata, gara-gara kekecohan yang berlaku itu, dia menerima kesan yang buruk apabila dalam satu sesi ceramah untuk menarik pelabur menyertai perniagaan itu, hanya enam orang sahaja yang hadir berbanding 1,000 orang dalam setiap sesi sebelum ini.

Sehubungan itu Rosyam berhasrat mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat untuk menjatuhkan namanya.

Dalam masa yang sama dia juga akan menukar strategi perniagaan bagi membolehkan perniagaan tersebut dapat diteruskan dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan