Perang Pakaian “Daun Terup” : Nurul & Zery Beri Penjelasan

Diterbitkan: Rabu, 23 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 ZERY ZAMRY
ZERY ZAMRY

PEREKA fesyen sensasi, Zery Zamry mengambil tindakan berani untuk menjelaskan isu hangat sehingga menjadi perang mulut beberapa pihak gara-gara pakaian bermotifkan daun terup yang dihasilkannya dalam satu majlis pertunjukan fesyen baru-baru ini.

Isu berkenaan tercetus apabila penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab menerusi laman sembang Facebook milik seorang pengurus artis telah menegur pakaian berkenaan dengan berkata rekaan itu dihasilkan oleh pereka yang tidak mempunyai idea.

Kata-kata Nurul itu bukan sahaja menyebabkan kemarahan Zery sebagai tuan punya baju sebaliknya Hatta Dolmat juga turut mengambil pendekatan membela rakannya dengan meluahkan kata-kata “panas” dan yang bukan-bukan terhadap Nurul.

Mengulas mengenai kritikan itu, Zery Zamry berkata rekaan itu dihasilkan sempena majlis ulang tahun sebuah majalah hiburan baru-baru ini.

Kata Zery, dia mencari kelainan dengan mencipta rekaan terbaru yang dihiasi daun-daun terup untuk mencari kelainan sempena mengambil inspirasi dari penampilan penyanyi Lady Gaga.

Malah Zery juga mengetahui pakaian berkenaan tidak akan dipakai oleh sesiapa pun untuk pergi ke mana-mana acara kerana ia adalah satu pakaian yang pelik dan sengaja dihasilkan atas tujuan untuk ‘suka-suka’.

Jelas Zery, dia agak terkejut apabila Nurul memberi komen dengan berkata rekaan itu datangnya daripada pereka fesyen yang tiada idea.

Soalnya, apa hak Nurul untuk memberi komen berkenaan kerana dia bukanlah ikon dalam bidang fesyen berbanding Erra Fazira atau Camelia?

“Kalau Nurul setaraf dengan dua bintang itu, saya tidak ada masalah sebaliknya dia sendiri bukan ikon dalam bidang fesyen,” katanya dalam temu ramah eksklusif dengan akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad lalu.

Kata Zery, sebagai pereka fesyen, rekaan itu adalah ilhamnya dan Nurul seharusnya mahir mengenai tema sesuatu pakaian sebelum memberi sebarang komen yang boleh menyakitkan hati.

Menurut Zery dia menganggap kritikan itu berpunca daripada dendam lama Nurul terhadapnya dalam satu program realiti Project Runaway terbitan 8TV kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam rancangan itu Nurul bertindak sebagai juri bersama beberapa orang lain.

Untuk program tersebut Zery telah diberi tugasan menghasilkan pakaian “majlis karpet merah” kononnya yang akan dipakai Nurul. Rekaan itu dibuat tidak terlalu seksi seperti yang diminta oleh Nurul sendiri.

Bagaimanapun kata Zery, selepas pakaian itu siap, Nurul mengetepikan kreativiti rekaannya sebaliknya memuji busana rekaan peserta lain yang kelihatan lebih seksi sedangkan pakaian itu tidak sesuai dipakai Nurul untuk mana-mana acara karpet merah.

“Dia minta saya hasilkan pakaian yang tidak seksi tetapi dia memuji pakaian peserta lain yang dihasilkan dengan potongan lebih seksi. Adil kah cara Nurul itu? Nampak sangat dia tak profesional,” katanya.

Atas sebab itu Zery telah meluahkan kesedihannya dalam blog peribadinya sendiri yang mungkin mengundang kemarahan Nurul sehinggalah dia membalas dendam dengan mengeluarkan kritikan dan sindiran dalam Facebook milik pengurus artis yang hangat diperkatakan hari ini.

NURUL JUGA BIASA DIKRITIK

Sementara itu Nurul yang dihubungi berkata sesiapa sahaja berhak memberi komen tidak kiralah seseorang itu pakar atau tidak dalam sesuatu bidang. Apa yang penting mereka yang berkenaan perlulah mengambil sesebuah kritikan itu dengan positif.

“Sebagai penyanyi saya juga dikritik oleh orang yang tidak menjadi penyanyi. Tapi saya terima semua itu,” katanya.

Jelas Nurul, walaupun ada pereka fesyen menuduh albumnya tak laku tetapi tidak semua tahu album Nurul menghadapi masalah dengan syarikat rakamannya sebelum ini.

Tetapi Nurul mengakui dia boleh hidup dengan menerima undangan pertunjukan pentas yang tidak pernah dihebohkan kepada orang lain selama ini.

Nurul juga turut mempersoalkan perbuatan dan sikap Zery kerana pernah menghina dan mengutuknya dalam blog peribadinya kira-kira tiga tahun lalu selepas rancangan realiti Project Runaway. Perkara itu disampaikan oleh orang lain kepada Nurul.

Tetapi Nurul berdiam diri tanpa memberi apa-apa komen walaupun ada kritikan Zery itu telah menghina bentuk badannya.

“Kalau nak ikutkan, Zery pernah menulis dalam blog dia menghina saya macam-macam. Dia turut mempersoalkan fizikal saya tapi saya tidak pun melenting. Bila saya memberi pandangan mengenai fesyen pakaiannya, dia sepatutnya terima dengan baik,” katanya.

Nurul berkata, Zery perlu mengambil contoh pereka-pereka fesyen lain seperi Rizalman Ibrahim dan Rizman Ruzaini yang menerima semua kritikan dengan profesional sehingga menjadikan mereka seorang pereka fesyen yang berjaya.

Tambahnya, tidak ada seseorang pun yang berjaya tanpa kritikan sebaliknya mereka yang enggan dikritik tentulah individu yang sukar untuk berubah.

“Kita kena jadi orang yang berfikiran terbuka. Saya pernah diherdik oleh pereka fesyen di dalam blog suatu ketika dahulu. Saya terima kritikan itu. Tapi apabila saya memberi pandangan saya pula, pihak terlibat kenalah menerimanya. Kalau hendak berjaya, kenalah terima itu semua,” kata Nurul.

* Akhbar Mingguan mStar diterbitkan setiap Ahad bersama The Sunday Star sekitar Lembah Kelang.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan