'Atilia Indah' Hasil Titik Peluh Sendiri

Diterbitkan: Rabu, 16 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Album terbaru Atilia berjudul Atilia Indah
Album terbaru Atilia berjudul Atilia Indah

TIADA apa yang dapat digambarkan oleh pemilik nama Raja Putri Atilia Haron atau lebih dikenali sebagai Atilia ini selain menzahirkan rasa syukur dan puas dengan kelahiran album pertama terbitanya sendiri berjudul Atilia Indah.

Biarpun lama menyepi dalam proses mengumpul material namun ia bukan sesuatu yang sia-sia kerana dia dapat menghasilkan album yang mengandungi 10 buah lagu.

Lebih istimewa album yang memuatkan empat lagu berbahasa Inggeris ini turut menampilkan Noh (Hujan) sebagai gandingan dalam lagu Old Love ciptaan Mike Bloemendal.

Malah impiannya untuk berduet bersama kumpulan dari Indonesia iaitu Maliq and D'Essentials melalui lagu Harus Bagaimana dan kumpulan Sore dengan lagu Silly Little Thing turut menjadi kenyataan.

"Album saya kali ini memuatkan empat lagu Inggeris dan enam lagu Melayu. Ini kerana ada peminat dan rakan-rakan yang mahukan saya menyanyi lagu Inggeris menakala segelintir pula yang mahu saya menyanyi lagu Melayu.

"Dalam pada itu saya ingin meluaskan pasaran agar diterima sama ada pendengar lagu Melayu atau lagu Inggeris.

"Sebagai penyanyi saya menjadikan bidang nyanyian sebagai punca rezeki jadi saya mahu album saya ini dapat memuatkan lagu yang sedap didengar dan diterima peminat," jelasnya pada sidang media pelancaran album tersebut di Solaris Mont Kiara, di Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Atilia album ini sangat bermakna baginya kerana ia dihasilkan dari titik peluhnya sendiri.

"Album ini adalah paling istimewa kerana saya juga dapat bergabung dengan tiga komposer yang mempunyai nama besar seperti Paul Morisson, Tak Khoon dan Mohariz Yaakub. Selain itu juga saya menulis dua buah lagu iaitu Selainnya dan Indah.

"Kolaborasi dengan Noh dan dua band Indonesia adalah yang saya idamkan selama ini. Saya telah melancarkan single pertama Silly Little Thing di Indonesia yang juga mendapat sambutan di sana. Insyaallah kami dalam rangka untuk menembusi pasaran di Indonesia selepas ini," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang maksud lagu Indah yang merupakan taruhannya, Atilia menjawab bahawa dia kini sedang melalui saat-saat indah bersama orang tersayang yang berada disekelilingnya.

"Saya berharap akan mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat ini dan akan mempunyai anak," jelasnya yang tidak mahu mengulas lanjut tentang status dirinya sekarang.

Album yang bakal berada dipasaran pada akhir Julai adalah terbitan Mujik Productions manakala Alibi Music terlibat sebagai pengedar dan promosi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan