Mahkamah Tetapkan Khamis Untuk Keputusan Permohonan Bung Mokhtar

Diterbitkan: Selasa, 8 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bung Mokhtar Radin (kiri) bersama isteri, Zizie Izette A.Samad berjalan keluar bersama peguambela mereka Zulkifli Yong Azmi (tengah) selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur bagi menandatangani fail pengesahan dan pendaftaran pernikahan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur hari ini. - Foto UTUSAN
Bung Mokhtar Radin (kiri) bersama isteri, Zizie Izette A.Samad berjalan keluar bersama peguambela mereka Zulkifli Yong Azmi (tengah) selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur bagi menandatangani fail pengesahan dan pendaftaran pernikahan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur hari ini. - Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan memutuskan Khamis ini permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin dan pelakon Zizie Izette A. Samad supaya pernikahan mereka diterima dan didaftarkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan.

Permohonan berkenaan adalah selari dengan seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif hari ini mendengar keterangan daripada Bung Mokhtar, 51; Zizie, 32; abang Zizie Izette yang bertindak sebagai wali Ahmad Shahazami, 48; serta dua adik beradik Zizie Izette (sebagai saksi) iaitu Samzy Fuzette, 34; dan Shaheizy Sam, 28.

Prosiding tersebut berlangsung dalam kamar.

Peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili kedua-duanya memberitahu pemberita bahawa Bung Mokhtar dan Zizie Izette telah memfailkan permohonan tersebut pada 4 Jun lalu.

Ditanya mengapa permohonan dibuat di sini sedangkan pernikahan berlangsung di Taman Melati, Selangor, Zulkifli berkata: "Semasa difailkan Zizie telah berpindah ke Kuala Lumpur, permohonan perlu dibuat mengikut alamat pemastautin".

Sementara itu, sebelum prosiding bermula, Zizie Izette dan Bung Mokhtar pada awalnya kelihatan terkejut dengan kehadiran wartawan.

Adik beradiknya yang turut hadir enggan memberi sebarang komen.

Bung Mokhtar dengan nada bergurau sempat menyatakan bahawa kehadirannya hanya "untuk berjumpa kawan di mahkamah".

Pada 19 Mei lalu, anggota parlimen itu dikenakan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah pada akhir tahun lepas.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Bung Mokhtar dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin sementara mendengar permohnan rayuan.

Selain itu, beliau juga didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette yang berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Manakala Zizie Izette dikenakan denda RM1,000 kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan jika gagal membayar denda, Zizie Izette boleh dipenjara sebulan.

Beliau juga dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara kerana kesalahan bersubahat poligami dengan suaminya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan