Wardina Hasilkan Buku 'Siapa Alien'

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wardina memperkenalkan dua buah bukunya yang baru dijual di pasaran semalam iaitu Mama Saya Lapar... dan Siapa Alien? di kedai buku MPH, Mid Valley kelmarin. - Foto oleh CHUA KOK HWA
Wardina memperkenalkan dua buah bukunya yang baru dijual di pasaran semalam iaitu Mama Saya Lapar... dan Siapa Alien? di kedai buku MPH, Mid Valley kelmarin. - Foto oleh CHUA KOK HWA

PENGACARA, pelakon, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot percaya setiap artis perlu mempunyai kekuatan dan imej tersendiri jika mereka mahu berjaya.

Sebagai contoh katanya, ramai juga kalangan artis bukan sahaja hebat sebagai seorang penyanyi mahu pun pelakon sebaliknya mempunyai pekerjaan sampingan lain dengan berniaga.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak ini mahu mencuba untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan buku berkaitan kanak-kanak dan ibu bapa.

“Saya nak ketengahkan imej seorang ibu yang mencintai kanak-kanak dengan mengeluarkan produk sendiri iaitu buku.

“Dengan adanya buku, saya yakin dapat memberi inspirasi kepada semua orang untuk memperbaiki diri sendiri dalam menguruskan keluarga.

“Sebagai seorang artis, saya sentiasa memikirkan perbezaan yang harus dilakukan untuk orang ramai. Misalnya, kita lihat Yuna dan Aizat mempunyai kelainan iaitu kekuatan mereka dengan imej tersendiri dalam bidang muzik,” katanya kepada mStar Online.

Kelmarin merupakan tarikh keramat bagi Wardina apabila dua buah bukunya iaitu Mama Saya Lapar... terbitan Alaf 21 berharga RM19.90 dan Siapa Alien? (Telaga Biru, RM19) telah dijual di pasaran. Selain itu dia juga menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31.

Dia tidak melepaskan peluang untuk meraikan hari lahirnya bersama peminat di kedai buku MPH, Mid Valley, Kuala Lumpur sambil meluangkan masa menandatangani autograf kepada peminat yang membeli bukunya.

“Saya menghasilkan buku dan berkarya bukan kerana suka-suka tetapi mahu ia dimanfaatkan oleh orang ramai. Sebab itulah saya memilih topik pemakanan sebagaimana orang Yahudi yang dibenci itu menjaga kesihatan mereka.

“Walaupun Yahudi merupakan golongan yang kecil tetapi mereka sangat berpengaruh selain mementingkan kesihatan dan pemakanan seperti yang diperkatakan oleh seorang ustazah kepada saya,” katanya.

Duta produk kecantikan Slim World, susu Anmum dan tudung Ariani Platinum itu percaya selain pemakanan, anak-anak juga memerlukan pendidikan untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.

“Saya tahu anak yang berusia sehingga 6 tahun jarang menyentuh buku. Jadi, sebab cintakan anak-anak dan buku, saya menghasilkan buku pertama yang ringkas dan berilustrasi iaitu Siapa Alien? bagi membolehkan ibu bapa memikat anak-anak mereka supaya menyukai buku.

“Ini merupakan percubaan pertama saya. Selepas ini, banyak lagi karya yang saya mahu hasilkan. Saya sudah mempunyai nama dalam industri seni dan saya akan ambil peluang ini untuk memberikan sesuatu kepada masyarakat. Dengan usaha ini, saya tidak mahu dikaitkan dengan cerita negatif,” beritahunya yang mengambil masa setahun untuk menyiapkan projek penulisan dua buah buku tersebut.

Bagaimanapun, Wardina belum bersedia untuk menulis buku biografi diri sepanjang bergelar artis sejak dari zaman mudanya sehingga sekarang.

“Ramai yang bertanya tentang perkara itu. Tetapi saya rasa saya belum cukup bagus untuk menulis biografi dan tak nak jadi syok sendiri. Kalau ada banyak permintaan, baru saya akan menulisnya.

“Tetapi saya rasa orang yang berusia 40 tahun ke atas lebih layak untuk menulis biografi,” jelasnya.

Selain itu, dia baru sahaja menyambung kontrak sebagai duta Anmum dan Slim World serta menjadi duta untuk beberapa produk lain.

Wanita yang pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan ‘selebriti Malaysia tidak layak bergelar ikon’ itu juga sedang menyambung pelajaran perimngkat ijazah dalam bidang psikologi selain menjadi pengacara program Malaysia Hari Ini.

Dia juga baru dilamar sebagai pengacara program Doa Halal World yang diterbitkan sebanyak 13 episod.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan