Rock & Anum

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anum taksub terhadap bakat dan pesona Ella dan ingin mengikut jejak langkah ratu rock itu. - Foto oleh RAYMOND OOI
Anum taksub terhadap bakat dan pesona Ella dan ingin mengikut jejak langkah ratu rock itu. - Foto oleh RAYMOND OOI

DETIK awal pertemuan dengan bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim ke-lapan (AF8), Anum untuk sesi fotografi eksklusif bersama Mingguan mStar baru-baru ini bermula dalam suasana yang agak kekok.

Gadis kecil molek itu pada awalnya tidak banyak berbicara. Walaupun cuba diajak berbual bagi mendapatkan keserasian untuk melancarkan urusan temu bual dan fotografi, Anum sekadar membalas sepatah demi sepatah setiap pertanyaan yang diajukan.

Situasi yang janggal itu terus berlangsung dan hanya selepas beberapa ketika, barulah anak jati Sabah ini semakin ceria dan lebih banyak berinteraksi.

Bukan Anum sombong atau tidak selesa dengan pertemuan yang berlangsung, rupa-rupanya pemilik nama sebenar Dayang Nor Anum Arjuna Aharun ini adalah seorang yang pemalu apatah lagi apabila bertemu dengan orang baru.

Akuinya, walaupun pada zahirnya dia mungkin kelihatan seperti seorang wanita rock dan ranggi, di sebalik imej ala penyanyi antarabangsa Avril Lavigne dan memiliki suara serak-serak basah itu Anum adalah seorang gadis yang sangat pemalu.

"Mungkin pada luaran saya nampak rock dan ranggi tapi sebenarnya saya seorang yang pemalu. Jika baru kenal orang, saya lebih selesa untuk mendiamkan diri dan cuba untuk mendapatkan keserasian dengan orang itu terlebih dahulu.

"Bukan apa, saya selalu bimbang jika terlalu peramah atau ceria tidak bertempat di awal pertemuan, mungkin akan mengundang pelbagai persepsi pada pihak satu lagi.

"Lebih baik kenal-kenal dulu dan bina keserasian itu. Hakikatnya, saya bukannya berat mulut, cuma kena kenal orang terlebih dulu sebelum saya tonjolkan diri yang sebenar," katanya.

Mendengarkan jawapannya itu, dia terus diusik, "Jika malu-malu tidak bertempat macam ini, macam mana hendak jadi artis yang dikenali. Susahlah kalau pendiam sangat, nanti orang fikir Anum sombong atau tidak selesa pula?"

Sempat mengukir senyuman dan mengiyakan kenyataan tersebut, Anum berkata, memang dia sedar sikap pemalunya itu harus dikikis dan diperbaiki supaya tidak menimbulkan tanggapan tidak senang orang lain terhadapnya.

"Saya memang kena buang sikap pemalu dan berat mulut bila bertemu orang baru tapi tidak boleh dikikis serta-merta. Ia memakan sedikit masa untuk saya perbaiki.

"Mungkin saya ini jenis yang lambat "panas" ketika berjumpa dengan orang yang baru dikenali. Tapi apabila saya sudah dapat keserasian dengan seseorang itu, saya bukanlah pendiam seperti yang disangkakan. Kadang-kala lebih banyak bercakap pula," katanya berseloroh.

Mengulas tentang perwatakannya yang ranggi, sempoi kadang-kala bersikap seperti orang lelaki, Anum berkata, dia merupakan anak perempuan tunggal daripada 10 adik-beradik.

Memandangkan dia sudah terbiasa dengan pergaulan yang lasak dan lebih selesa berkawan dengan lelaki berbanding perempuan, maka tidak hairanlah anak ketiga ini mempunyai perwatakan dan bahasa tubuh yang sedikit "kasar" dan ranggi berbanding sebahagian besar gadis lain.

"Saya adalah anak perempuan tunggal daripada 10 adik-beradik. Sejak kecil saya selesa bergaul dengan lelaki. Malah saya lebih banyak kawan lelaki berbanding perempuan.

"Mungkin sebab itu perwatakan dan cara saya sedikit kasar dan lebih ranggi berbanding kebanyakan gadis lain. Namun, saya masih menjaga etika dan batasan seorang gadis Melayu lagi, cuma saya bukan jenis yang lemah-gemalailah," jawabnya yang mengakui dirinya seorang gadis yang ringkas dan sederhana.

Gadis yang bakal menyambut usia 19 tahun tanggal Ogos depan itu turut mengakui perwatakannya yang ranggi dan lasak itu begitu meminati muzik rock. Padanya, rock begitu dekat dengan jiwanya dan dia meminati genre itu sejak kanak-kanak lagi.

"Jiwa saya memang senang dengan muzik rock yang rancak dan lebih keras. Mungkin sebab luaran saya yang lebih lasak ini, dalaman saya juga cenderung kepada muzik begini," katanya.

Meminati Ella

Terlanjur menyentuh istilah rock, Anum yang sememangnya sinonim dengan muzik itu menerusi pentas AF8 melahirkan ketaksubannya terhadap bakat dan pesona yang dimiliki ratu rock negara, Ella.

Kata Anum, lagenda rock itu punya pesona dan bakat suara yang benar-benar asli dan jujur dalam penterjemahan muziknya. Malah, tidak keterlaluan baginya menyifatkan Ella sebagai idola.

"Bila cakap pasal rock, memang saya cukup kagumi Ella kerana aura dan bakatnya. Sejak kecil lagi, saya selalu berangan-angan untuk jadi seperti Ella. Saya teringin untuk menjadi penyanyi segah namanya dalam industri ini," ceritanya.

Seiring dengan naluri remajanya, selain Ella dia turut meminati penyanyi Avril Lavigne kerana imej dan muzik yang diketengahkan. Malah, Anum menyifatkan penyanyi dari Kanada itu sebagai refleksi dirinya.

Keterujaannya terhadap bintang antarabangsa itu bukan sekadar pada lagu-lagu dan penampilan, bahkan Anum suka dengan kejujuran yang dipamerkan oleh Avril kerana menjadi dirinya sendiri.

"Saya suka Avril kerana dia menjadi dirinya sendiri. Caranya berhadapan dengan media dan masyarakat serta muzik dan imej yang diketengahkan adalah cermin dirinya sendiri dan faktor itu sedikit sebanyak punya persamaan dengan saya.

"Saya ingin masyarakat dan sesiapa saja menerima saya seadanya sebagai Anum," katanya yang dibekalkan single Berakhir Sebelum Bermula bagi memulakan karier seninya selepas AF8 berakhir baru-baru ini.

Sebelum mengakhiri perbualan, Anum ditanya mengenai perancangan dan harapannya sebagai orang baru dalam dunia seni. Katanya, dia perlu berusaha bersungguh-sungguh dan bijak menghidu peluang bagi membina nama dan populariti di pentas hiburan tanah air.

Malah, Anum juga optimis dan yakin, dengan kesungguhan, kerja keras dan rezeki yang ditentukan, mungkin impiannya untuk bergelar penyanyi sebesar Ella akan menjadi realiti kelak.

"Saya tahu bukan mudah untuk membina nama dan berjaya dalam bidang ini. Dengan 'populariti segera' dan platform asas yang sudah disediakan oleh AF, saya perlu berkenalan dengan orang-orang kuat dalam industri dan ringan mulut bagi meraih peluang untuk mara ke hadapan.

"Saya perlu bekerja-keras dan tidak boleh malu-malu untuk mencari peluang ini. Saya yakin impian saya untuk bergelar penyanyi tidak akan berakhir di sini," luahnya dengan penuh harapan.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan