Kematangan Aziz Pikat Hati Lily

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengantin baru, Aziz M. Osman dan isteri, Puteri Lily selamat diijabkabulkan semalam. - Foto oleh RICKY LAI
Pengantin baru, Aziz M. Osman dan isteri, Puteri Lily selamat diijabkabulkan semalam. - Foto oleh RICKY LAI

PENGARAH filem dan drama popular Aziz M. Osman pernah berhadapan dengan pelbagai liku dalam kehidupan rumah tangganya sebelum ini.

Setelah mahligai yang dibina bersama pelakon yang juga produser Nur Aliah Lee atau Vee selama 15 tahun runtuh tiga tahun lalu, Aziz sekali lagi diuji apabila perkahwinannya dengan Nor Radhiah Ramli musnah sekelip mata selepas perkahwinan mereka dibatalkan kerana ustazah dari Terengganu itu dilaporkan masih dalam tempoh edah ketika bernikah dengan Aziz.

Dua tahun peristiwa itu berlalu, hati pengarah filem XX Ray ini kembali 'berbunga' setelah bertemu dengan buah hati yang kini sah bergelar surinya, Puteri Lily atau nama sebenarnya Puteri Sarbainun Lokman, yang berusia 21 tahun itu.

Melihat ketenangan pada air mukanya ketika akad nikah berlangsung, Aziz diusik mengenai perkara itu. Katanya, kematangan usia menjadikan dia cukup tenang dan bersedia ketika dinikahkan oleh bapa mertuanya semalam.

"Saya kelihatan tenang pada pagi ini (semalam) sebab kematangan usia dan pengalaman hidup yang saya lalui selama ini. Saya sudah bersedia untuk pikul tanggungjawab ini," katanya ringkas memulakan bicara.

Aziz,48, dan Puteri Lilly selamat diijabkabulkan di Masjid Negara semalam. Dengan sekali lafaz, dia sah menjadi suami kepada Puteri Lilly. Upacara akad nikah dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Lokman Ghani hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Abdullah Hashim serta ahli keluarga mempelai.

Ketika diminta mengulas mengenai perbezaan usia kira-kira 27 di antara dia dengan Lily, Aziz yang ditemui sejurus majlis akad nikah selesai berkata, di awal perkenalan perkara itu turut menjadi dilema kepadanya.

Sementelah, usia Lily sendiri muda setahun daripada puteri sulungnya, Puteri Nurul Fateha yang berusia 22 tahun. Sudah tentu perbezaan itu akan mengundang pelbagai persepsi orang ramai.

"Memang saya akui di awal perhubungan kami, perbezaan umur yang jauh menimbulkan dilema buat saya. Apatah lagi, umur Lily pula muda setahun daripada anak sulung saya. Sudah tentu ia akan mengundang pelbagai pandangan atau pertikaian orang lain mahu pun keluarga sendiri.

"Tapi, takdir yang menentukan jodoh kami berdua dan saya bersyukur dengan apa yang tersurat untuk saya. Yang penting, bukan umur tapi keserasian di antara kami yang membolehkan kami bersatu hari ini (semalam). Saya mencari teman hidup dan bukan isteri semata-mata. Saya lihat ciri-ciri itu ada pada Lily," katanya sambil menjeling manja ke arah Lily di sisi.

Tambah Aziz, di sebalik usia yang muda, kematangan, keperibadian dan keserasian anak kepada aktivis teater, Lokman Ghani itu meyakinkannya untuk menyunting Lily sebagai suri hati.

Bahkan, gadis itu juga ikhlas dan menerima Aziz seadanya walaupun dia adalah seorang duda berusia 48 tahun dan mempunyai enam orang anak. Malah, sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin, Aziz beberapa kali bertanya kesediaan Lily untuk menggalas tanggungjawab dan apa jua persepsi orang terhadapnya kelak.

"Dia menerima saya bukan kerana nama dan kerjaya saya tetapi kerana diri saya. Malah, sebelum kami putuskan untuk berkahwin pun, beberapa kali saya dapatkan kepastiannya akan keputusan besar yang bakal kami buat ini.

"Banyak kali saya bergurau dengannya, adakah satu kerugian besar jika dia menerima saya seorang duda yang ada anak enam? Tapi saya tidak rugi apa-apa kerana dia masih muda dan anak dara," kongsi Aziz dalam nada ketawa.

Sementara itu, Puteri Lily berkata, keserasiannya bersama Aziz membuatkan hatinya terpaut. Malah dia senang dan selesa dengan kematangan dan sikap kebapaan yang dimiliki oleh Aziz.

Bercerita lanjut tentang jarak usia mereka, Lily mengakui, walaupun usianya masih muda namun dia memang bersedia untuk bergelar isteri sekali gus memikul tanggungjawab sebagai ibu tiri kepada anak-anak Aziz.

"Memang ia satu tanggungjawab yang besar tapi saya cuba untuk belajar. Lagipun saya memang sudah biasa dengan kanak-kanak, bukannya susah mana pun hendak menguruskan anak-anaknya, tak banyak meragam dan bukan satu masalah besar pun.

"Kadang-kala lebih susah untuk menjaga bapanya (sambil menjeling ke arah Aziz) yang lebih banyak ragam," katanya berseloroh.

Ditanya mengenai harapan Aziz terhadap perkahwinan kali ini, secara spontan anak sulung kepada pasangan seniman dan seniwati M. Osman dan Afida Es itu menjawab, pengalamannya daripada perkahwinan terdahulu menjadi teladan dan panduan untuk melayari bahtera rumah tangga yang baru dibina ini.

"Kematangan usia dan pengalaman yang lepas banyak memberikan pengajaran dan teladan buat saya. Insya-Allah, saya mengharapkan yang terbaik untuk perkahwinan ini dan berkekalan ke akhir hayat," katanya yang masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan