Hati Shahir Terguris Gara-Gara Gosip

Diterbitkan: Ahad, 6 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shahir akur ada kalanya hatinya terguris dengan terpaan gosip liar dan fitnah. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN
Shahir akur ada kalanya hatinya terguris dengan terpaan gosip liar dan fitnah. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN

JUARA Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi tidak menyangka gosip dan fitnah yang melanda dia sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak boleh menganggu ketenangan hidupnya.

Walaupun dia sedia menghadapi segala kemungkinan dan gosip yang mendatang, Shahir akur ada kalanya hatinya terguris.

Meskipun wajah nampak tenang, tapi kocak di hatinya, tuhan saja yang tahu. Menurut Shahir, bukan semua gosip mampu ditepisnya.

Ada juga gosip yang cukup menghiris hati kecilnya sehingga membuat dia tidak mampu memberi sebarang komen. Gosip kononnya ibu dan ayahnya duduk berjauhan di konsert akhir AF8 membuat Shahir tersentuh.

Sambil menggeleng kepala dan mengucap panjang, Shahir berkata dia tak sangka ada yang boleh membuat andaian sebegitu rupa hanya kerana ibu bapanya tidak duduk bersama.

"Ada juga gosip yang melibatkan maruah saya. Kadang tu saya terfikir saya perlu bertindak, tapi tengoklah macam mana.....," jelas pemuda yang berasal dari Kampar, Perak ini ketika ditemui di Parti Durian anjuran Astro di KGLCC kelmarin.

Ketika diminta reaksinya tentang gosip yang kononnya dia sudah bertunang, Shahir dengan tenang menjelaskan, semua itu tidak benar.

"Itu tak betul. Saya tidak pernah bertunang. Saya pun hairan macam mana gosip itu boleh timbul. Tapi ini adalah asam garam dunia seni, saya kena hadapi," kata Shahir, 22 dan anak sulung daripada lima beradik ini.

Difahamkan gosip itu timbul kerana sebentuk cincin yang tersarung di jari kirinya. "Oh cincin ni dah lama saya pakai. Ni bukan cincin tunang," jawab Shahir spontan sambil tersenyum.

Bekas qari Remaja negeri Perak ini juga masih mampu tersenyum apabila diajukan pertanyaan tentang cakap-cakap sumbang kononnya dia mempunyai masalah disiplin ketika menuntut di Pusat Asasi Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Shahir berkata, "itu juga tidak benar. Tanyalah sesiapa yang menuntut di sana sama saya, saya tidak pernah gagal satu matapelajaran mahu pun ada masalah disiplin. Tapi memang saya tidak tamat pengajian."

Katanya lagi, "Sebenarnya saya berhenti kerana masalah kewangan. Saya tahu keluarga saya tak mampu sebab tu saya terpaksa berhenti setelah satu setengah semester."

Menurut Shahir, dia nekad berhenti kerana ingin membantu meringankan beban keluarganya. "Saya tahu saya tak mungkin dapat menumpukan perhatian pada pelajaran bila saya tahu keadaan keluarga saya susah ketika itu. Lagipun sebagai anak sulung, itu sudah jadi tanggungjawab saya membantu keluarga," jelas Shahir yang menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan bagi meringankan beban keluarga.

Pemuda tampan yang tidak lekang dengan senyuman di wajahnya ini mengaku jauh di hati kecilnya masih tersimpan keinginan untuk menyambung pelajarannya satu hari nanti.

"Saya memang ada cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Mesir dalam bidang falsafah Islam. Tapi saya mahu pastikan keluarga saya stabil dulu sebelum itu. Insya Allah, kalau ada rezeki saya, pasti akan mengambil peluang," jelas bekas anggota kumpulan nasyid Saujana ini dengan penuh berhemah.

Shahir yang kini sedang popular dengan singlenya berjudul 'Kebahagiaan Dalam Perpisahan' juga tidak menduga kemenangannya membuat diari hidupnya berubah dengan mendadak sekali sehingga tidak ada masa untuk berehat.

"Mula-mula rasa seronok juga tetapi lama-lama bila tengok tak ada privasi, saya jadi terkejut dan risau pula. Tapi saya tahu semua ini adalah asam garam dunia seni. Lagipun ini adalah jalan yang saya pilih, jadi saya terpaksa harunginya.

“Asalkan saya pandai jaga diri dan tahu apa yang saya lakukan. Biarlah apa yang orang nak kata," jelas Shahir.

Petang semalam, Shahir telah mengadakan kenduri kesyukuran doa selamat di rumah keluarganya di Kampar, Perak pada pukul 4 petang. Kenduri tersebut diuruskan oleh ibunya, Mahanum Osman dan kelab peminatnya, Shahir FC.

Yang pasti, walau penat terukir di wajahnya kerana kurang tidur dan jadual yang padat, Shahir tetap mahu meraikan kejayaannya bersama keluarga tercinta dan peminat-peminatnya dari Shahir FC, walau sebentar cuma.

Dalam perkembangan lain, Shahir juga akan muncul dengan program sendiri, Diariku...Shahir setiap Ahad, pukul 10 malam.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan