PAS Tawau Selar Penganjur Konsert Inul

Diterbitkan: Sabtu, 5 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS kawasan Tawau, Sabah menyelar kenyataan penganjur Konsert 1 Inul Daratista, Nick Jordan yang mendakwa konsert yang sepatutnya diadakan di bandar itu hujung bulan lalu sebagai tidak lucah.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Muhammad Hussain, sebaliknya berkata konsert Inul sebenarnya boleh meruntuhkan akhlak anak muda dan ia tidak wajar diadakan sama sekali.

“Adalah satu kenyataan yang kurang bijak telah keluar daripada mulut Nick Jordan dengan menyatakan bahawa konsert Inul tidak lucah dan dianggap satu seni dalam hiburan.

“Lenggok tubuh dan juga goyang gerudi yang sering diperkatakan itu merupakan bukti bahawa konsert Inul merupakan konsert yang berbaur lucah,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada mStar Online di sini semalam.

Khamis lalu, Nick Jordan mempertahankan pendirian konsert Inul tidak akan mendatangkan masalah kepada orang ramai kerana ia bukan berunsur lucah dan seterusnya kecewa apabila pihak berkepentingan politik cuba menghalang penganjurannya di Sabah hujung bulan lalu.

Akibat masalah itu, konsert berkenaan yang turut di jadual diadakan di ibu negara semalam terpaksa dibatalkan menyebabkan penganjur kerugian kira-kira RM240,000 apabila ia gagal dilaksanakan mengikut jadual.

Kata Muhammad Hussain, pergaulan lelaki dan perempuan di dalam satu konsert itu menambahkan lagi parahnya dan seterusnya dikhuatiri anak muda yang datang bukan sekadar mahu menonton konsert tetapi mempunyai agenda lain yang bertentangan dengan akhlak dalam Islam.

Jelasnya lagi, ia adalah bukti yang jelas bahawa konsert tersebut membawa kesan negatif berbanding kesan positifnya.

“Bukan sekadar sampah sarap yang berserakan di atas padang tetapi kadang kala ada juga peralatan yang digunakan untuk melakukan hubungan seks kerap ditemui setiap kali acara keraian seperti konsert dan sebagainya,” katanya.

Muhammad Hussain turut menegaskan kesan daripada tiga jam Inul melakukan gelek di atas pentas itu akan menyebabkan anak muda juga bersorak untuk meniru aksi yang sama dan seterusnya menyumbang kepada keruntuhan akhlak mereka.

“Daripada membiarkan konsert ini berlaku dan menambahkan lagi maksiat di bumi Sabah, lebih baik kita cegah. Sebelum gejala maksiat semakin kronik di Tawau khususnya, lebih baik kita menghalang konsert yang tidak bermanfaat ini,” katanya.

Menurutnya acara hiburan itu sebenarnya tidak salah tetapi berhibur yang berlebihan sehingga bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan juga norma masyarakat adalah sesuatu yang dilarang..

Kali terakhir Inul beraksi di Malaysia pada Mei 2005 dan pada tahun ini sudah empat kali konsert artis tersebut mendapat bantahan.

Selain PAS, konsert itu turut di bantah oleh Wanita UMNO Kalabakan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan