Ibu Ifa Raziah Meninggal Dunia Malam Ini

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ibu kepada penyanyi dangdut dan pelakon popular Ifa Raziah iaitu Maimunah Ahmad, 56, meninggal dunia kira-kira pada pukul 7 malam ini di Hospital Kangar, Perlis kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

Ifa ketika dihubungi mStar Online tidak terkilan dengan kematian ibunya itu kerana telah menunaikan hasrat arwah sewaktu hayatnya.

Kata Ifa, dia tidak sempat untuk berada di sisi Allahyarham ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir kerana terikat dengan jadual penggambaran.

"Walaupun saya tidak sempat berada di sisi ibu pada waktu itu tetapi saya redha dan menerima kematiannya dengan tabah. Syukurlah suami dan keluarga yang lain ada di sisi arwah walaupun saya tidak sempat.

"Memang tak dinafikan perasaan sedih ketika adik saya memaklumkan berita itu semasa saya sedang berada di lokasi.

"Apa-apa pun saya tidak terkilan kerana saya sempat berbual dengan arwah melalui telefon tengah hari ini iaitu beberapa jam sebelum dia meninggal dunia," katanya.

Tambah Ifa, komplikasi buah pinggang yang ditanggung oleh ibunya sejak bertahun-tahun lalu bertambah serius dan keadaannya semakin lemah hari demi hari.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Felda Guar Napai, Kodiang tengah hari esok.

Ikuti pengakuan Ifa secara eksklusif hajat yang sempat ditunaikan sebelum kematian ibunya kepada Wartawan WAHIDUZZAMAN dalam Mstar Online esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan