Watie: Hentikan Tohmahan Atau Dia Ambil Tindakan

Diterbitkan: Isnin, 31 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISTILAH kontroversi memang tidak asing bagi anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini. Sejak kembara seninya bermula sebagai anggota kumpulan pop Elite hampir 15 tahun lalu, Watie Sadali terus dihujani pelbagai cerita dan persepsi serong masyarakat.

Baru-baru ini, pelakon Gelora Di Hati Sara 2 ini diuji lagi dengan penyebaran gambarnya pada sebuah majlis hari jadi di internet selain dakwaan kononnya dia menghidap Hepatitis. Lebih memburukkan keadaan, impak daripada fitnah itu menjejaskan tawaran lakonan padanya.

"Saya kesal dan kecewa dengan tohmahan pihak yang mendakwa saya menghidap penyakit berjangkit baru-baru ini. Kesannya, tawaran lakonan yang diterima terus merudum. Jika benar saya disahkan menghidap penyakit berbahaya, tidak mungkin pihak hospital membenarkan saya keluar selepas beberapa hari sahaja ditahan.

"Mungkin banyak produksi masih tidak tahu status sebenar kesihatan saya ekoran fitnah itu. Terus-terang, saya tidak sakit seperti yang didakwa, hanya gastrik sahaja. Kini, saya sudah sembuh sepenuhnya dan ingin kembali bekerja," jelasnya.

Setelah sekian lama tunduk bersabar, Watie bertekad untuk tidak beri muka lagi pada pihak yang sengaja 'memalit lumpur' hingga menjejaskan periuk nasinya.

"Selama ini, saya hanya diamkan diri dengan apa jua fitnah atau cerita-cerita buruk mengenai saya yang ditokok-tambah daripada fakta sebenar. Namun, nampaknya tindakan saya mendiamkan diri memberi kesan pada periuk nasi saya.

"Saya tidak mahu beri muka lagi pada mana-mana pihak yang sengaja mencemar nama saya. Bukan saya suka-suka cari kontroversi. Banyak kontroversi yang melanda datangnya daripada persepsi serong dan hasad dengki segelintir pihak terhadap saya. Selepas ini, saya pasti akan ambil tindakan jika cerita-cerita buruk terus dilemparkan," tegas Watie.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan